My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 1 June 2018

    Sampai Jumpa Lagi Real...



    Presiden Real Madrid, Florentino Perez mengakui terkejut selepas Zinedine Zidane memaklumkan akan melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan tersebut malam tadi. Zidane membuat keputusan untuk meninggalkan The Galacticos selepas lima hari berjaya membimbing kelab gergasi La Liga tersebut merangkul trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut. 

    Status pengendali berusia 45 tahun itu hangat diperkatakan selepas beliau berjaya membimbing Real menundukkan Liverpool 3-1 pada pentas final di Kiev, Ukraine walaupun Zidane gagal menghadiahkan kejuaraan La Liga dan Copa del Rey kepada The Galacticos musim ini.

    “Semua dapat bayangkan ini adalah suatu perkara di luar jangkaan selepas beliau menghadiahkan trofi yang sangat bermakna buat pasukan. Saya mahu beliau menjadi pemain dan pengurus pasukan buat selamanya, namun kami perlu faham keputusan yang diambilnya adalah muktamad.

    “Apa yang mampu saya berikan adalah suatu penghormatan kepadanya dan mengingati segala jasanya kepada Real sepanjang beliau berada di sini,” kata Perez.

    Pada masa sama, Perez tetap mengharapkan Zidane kembali semula untuk mengendalikan Real selepas bekas pemain skuad kebangsaan Perancis itu menghadiahkan sembilan trofi kepada pasukan sejak beliau mengambil alih pada tahun 2016.

    "Semua orang tidak bersedia untuk menerima berita ini, namun saya sentiasa berterima kasih kepadanya setelah banyak sumbangan beliau curahkan buat Real selama ini. Saya tidak mahu mengucapkan selamat tinggal kepadanya, sebaliknya semoga kami dapat berjumpa dan bekerjasama lagi pada masa depan,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Zidane enggan mengulas mengenai keputusan peletakan jawatan tersebut, namun berharap Real mampu mencipta banyak kejayaan dengan cara berbeza daripada apa yang telah dibawanya selama ini.

    “Pasukan perlu meneruskan rentak kemenangan walaupun saya akan meninggalkan Real. Mereka perlu beraksi dengan pendekatan dan taktikal berlainan selepas saya pergi dan pemain sememangnya perlu menghadapinya sebagai suatu yang baharu. Berita meninggalkan kelab ini bukan menunjukkan saya akan mencari pasukan baharu, namun ia adalah keputusan peribadi,” kata Zidane.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sampai Jumpa Lagi Real... Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top