Angkara ingkar larangan, seramai 15 lelaki Islam dikenakan denda sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Bahagian Sibu kelmarin atas pertuduhan berjudi.
Kesemua mereka berusia antara 31 dan 61 tahun dicekup dalam dua operasi berasingan yang dilancar pihak Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan polis IPD Sibu di dua lokasi berasingan di sini sekitar jam 5 petang kelmarin.
Hakim Morshidi Gaya menjatuhkan hukuman selepas kesemua mereka mengaku bersalah di bawah pertuduhan mengikut Seksyen 15(1) Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah (OKJS) yang apabila sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, kesemua mereka bebas selepas membayar denda masing-masing kelmarin. Serbuan ke atas dua premis menjual nombor ekor yang terletak di Sungai Merah dan Jalan Kampung Nyabor itu juga menyebabkan operasi penjualan nombor ekor tergendala sebentar apabila JAIS dan polis bertindak menutup pintu pagar geriji di premis berkenaan.
Operasi itu disertai enam pegawai penguat kuasa agama dari JAIS Sibu dan Kuching dibantu tujuh anggota polis IPD Sibu.
0 comments:
Post a Comment