Penerimaan awal filem arahan sutradara Dain Iskandar Said, Interchange ke pelbagai festival filem besar seluruh dunia membuktikan ia naskhah berkualiti yang mampu memberi nafas baru industri hiburan tempatan.
Malah filem yang selesai penggambarannya pada tahun 2015 itu memberi keterujaan dalam kalangan penganjur festival filem dan sambutannya juga sangat memberangsangkan. Bermula dengan Festival Filem Lacarno di Switzerland pada 2 hingga 12 Ogos lalu, Interchange kemudian di bawa ke Festival FIlem Antarabangsa Toronto untuk Tayangan Perdana Amerika Utara diikuti Festival Filem Etrange Paris dan Festival Filem Antarabangsa Vladivostok.
Malah filem yang menggabungkan pelakon Malaysia dan Indonesia itu turut menyertai Filem Antarabangsa BGI London dan Festival Filem Fantastic Antarabangsa Sitges. Ketika majlis tayangan Interchange berlangsung meriah di ibu kota baru-baru ini, majoriti penonton mempamerkan rasa teruja dan memuji jalan ceritanya yang menarik.
Menurut Dain, banyak elemen yang ditekankan sepanjang pembikinan filem ini bagi menggambarkan sesuatu subjek. “Menerusi filem ini saya banyak bermain dengan semangat alam dan Orang Asli. Inilah cerita yang perlu kita bawa ke luar agar orang nampak siapa kita. Sejak beberapa tahu lalu, saya sudah mengkaji budaya dan kehidupan Orang Asli.
“Saya lebih selesa menghasilkan sesuatu yang berbeza supaya boleh bawa karya ke luar negara dan pada masa sama boleh belajar dengan pengkarya luar mengenai filem,” katanya.
Mengulas kesukaran yang dihadapi ketika menghasilkan filem ini, Dain berkata dia perlu berdepan dua kumpulan samseng yang menjaga kawasan Chow Kit dan China Town. “Syukur, pelakon saya semuanya profesional dan dapat melakukan tugas masing-masing dengan lancar dan cepat.
“Selain itu 3D dalam filem paling sukar untuk dihasilkan,” katanya. Filem ini mengisahkan detektif Man dan jurufoto forensik, Adam menyiasat siri pembunuhah ritual di sebuah kota tidak bernama di Asia Tenggara. Kes kematian yang berlaku lima bulan lalu amat mengerikan sehingga menghantui Adam.
Sejak itu, Adam gemar menyendiri dan meluangkan masa mengambil gambar dari balkoni kediamannya. Suatu hari, Adam merakamkan gambar wanita cantik dari Borneo yang baru sahaja berpindah ke kawasan kediaman itu. Kehidupan Adam dikelilingi kejadian misteri, pembunuhan dan suasana huru-hara.
Tatkala Adam dibawa masuk ke dunia puak Iva, Man berjaya membongkar kes pembunuhan yang berlaku dan berdepan dengan pelbagai kejadian mistik dan amalan dulu kala yang kembali ‘hidup’. Ditanya adakah karya garapannya itu terlalu berseni dan berat untuk penonton di negara ini, Dain berkata ada penonton luar menyifatkan Interchage sebuah naskhah komersial.
“Walaupun ada pihak di sini menganggap karya saya berseni dan berat, beberapa wakil luar seperti dari Berlin, Jerman tidak menerima Interchange kerana menganggapnya terlalu komersial. “Industri perfileman sangat membangun dengan kemunculan pelbagai genre, jadi di sini ia mungkin sukar diterima kerana dianggap susah difahami, tetapi penyertaan kita di festival filem antarabangsa menyaksikan pasaran mereka berbeza,” katanya.
Filem yang menelan belanja RM3.1 juta itu dibintangi nama besar iaitu Shaheizy Sam, Nicholas Saputra, Iedil Putra, Prisia Nasution dan Nadiya Nisaa. Sementara itu, Nicholas mengakui seronok dapat bekerjasama dengan produksi Malaysia. “Saya mengenali Dain Said menerusi filem arahannya, Bunohan.
Sejak itu saya mengagumi hasil karyanya. Jadi apabila ditawarkan membintangi filem, sudah pasti saya terima. “Pengalaman berkerja dengan Sam, Iedil Putra dan pelakon lain sangat luar biasa. Itu fakta yang perlu saya akui.
Keseluruhan produksi sangat bagus dan semuanya saling membantu,” katanya yang memegang watak Belian. Bercerita mengenai karakter Belian, Nicholas berkata bukan mudah menjiwainya malah dia perlu melakukan banyak kajian bagi memastikan ia melekat di hati penonton.
“Belian hidupnya penuh tanda tanya dan dia bergerak dalam kegelapan kota mencari negatif filem yang kemudian diserahkan kepada pemilik barangan kaca antik. Dia berenigma tinggi dengan kata-katanya dan mempunyai kekuatan yang luar biasa,” katanya.
Sam pula berkata, melakonkan watak Man memerlukannya berhati-hati kerana perlu lari daripada karakter yang pernah dijayakannya dalam Polis Evo. Dia bersyukur kerana Dain memberi kebebasan kepadanya mencorakkan watak itu.
“Penggambaran filem ini berlangsung selepas beberapa bulan saya menjayakan Polis Evo. Bimbang juga andai saya mempamerkan lakonan sama seperti Polis Evo tetapi syukur Dain banyak membantu dan dapat menjiwai watak Man seperti yang dikehendaki skrip.
“Bagi saya Dain ringkas orangnya. Dia sering berpesan kepada kami agak tidak berlebih-lebihan ketika beraksi depan kamera kerana mahu lakonan kami nampak lebih realistik,” katanya. Interchange sudah ditayangkan di seluruh pawagam bermula semalam.
0 comments:
Post a Comment