Debaran cukup dirasai pemain Pulau Pinang Faiz Subri (gambar) menantikan keputusan sebaik tarikh tutup undian pusingan pertama anugerah Puskas 2016 Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini. Keputusan undian itu akan menentukan tiga daripada 10 jaringan tercantik untuk bersaing di peringkat akhir dalam satu majlis berprestij di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan.
Biarpun terpaksa bersaing dengan gol jaringan pemain lebih ternama seperti Lionel Messi dan Neymar dari Barcelona namun berdasarkan teknik gol yang dihasilkan oleh Faiz serta reaksi peminat di seluruh dunia, peluang untuk pemain berusia 29 tahun itu berada dalam senarai akhir tiga terbaik amat cerah.

“Memang berdebar juga tunggu keputusan tapi apa pun saya serah kepada keputusan undian. Saya tak pernah terfikir untuk sampai ke tahap ini dan jika saya gagal sekali pun, saya tetap meneruskan kerja saya sebagai pemain bola sepak seperti biasa, malah akan berusaha lebih gigih lagi,” katanya semalam.
Selain Messi dan Neymar, turut bersaing untuk merebut anugerah sempena nama penyerang legenda Real Madrid dan Hungary, Ferenc Puskas itu adalah Mario Gaspar dari Sepanyol, Hlompho Kekana (Afrika Selatan), Marlone (Brazil), Hal Robson-Kanu (Wales), Daniuska Rodriguez (Venezuela), Saul Niguez (Sepanyol) dan Simon Skrabb (Finland).
Faiz mencipta sejarah baru bola sepak tanah air apabila gol menerusi sepakan percuma dari jarak 32 meter ketika bertemu Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya pada 16 Februari lalu berjaya dicalonkan dalam anugerah Puskas tahun ini.
Penyerang Pulau Pinang itu sedar ada pihak yang mempertikaikan jaringan yang dikatakan melanggar hukum fizik itu dengan mendakwa ia dilakukan secara tak sengaja namun hakikatnya dia berlatih untuk melakukannya.

“Saya berlatih untuk melakukan sepakan seperti itu, ada masa menjadi dan ada yang tak jadi, perkara itu biasa bagi mana-mana pemain,” kata penyerang Pulau Pinang itu.
0 comments:
Post a Comment