Dingin petang di padang rumput itu mencengkam hingga ke tulang putih. Walaupun baru jam 5.30 petang, bulan sudah jelas kelihatan di langit tanpa awan. Tidak juga kedengaran derap kaki kuda sedangkan ternakan itu cukup sinonim dengan wilayah berkenaan. “Tavtai morilno uu” sapa seorang lelaki bertubuh sasa yang memakai lengkap pakaian tradisional kaum etnik tempatan.
Saya hanya mengangguk kepala tanda hormat walaupun tidak memahami apa yang disebut lelaki itu. “Selamat datang ke Chile Chuan Grassland. Saya akan bersama tuan sepanjang berada di Inner Mongolia. Panggil saya Rocky dan saya bukan orang Mongol tetapi keturunan Han,” katanya yang fasih berbahasa Inggeris.
Barulah saya tahu perkataan Mongol yang disebut itu bermaksud ‘selamat datang’. Sejak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Baita, Hohhot lagi, saya sudah dapat merasakan apa yang saya bayangkan mengenai Inner Mongolia selama ini ternyata salah. Wilayah itu bukan sekadar Genghis Khan, padang rumput, gurun, kuda dan kambing, tetapi banyak lagi.
Wilayah autonomi bersempadan Mongolia dan Russia di utara China itu, berkeluasan 1.2 juta kilometer persegi dan mempunyai lebih 20 juta penduduk, majoritinya kaum Han China, manakala orang Mongol hanya mewakili kira-kira 15 peratus.
Walaupun kawasan perbandarannya seperti di Hohhot, Chifeng, Baotou, Ordos, Tongliao dan Ulanqab, diresapi kemodenan dengan deretan pusat beli-belah dan pencakar langit, sebahagian besar kawasan di luar bandar masih lagi diliputi padang rumput dan gurun pasir.
Cumanya, saya agak kurang bernasib baik kerana berada di wilayah itu pada penghujung musim luruh, ketika padang rumput yang menjadi kebanggaan mereka hanya tinggal dahan, ranting dan rumput keperangan, sungai kekeringan, dikelilingi pergunungan Yishan yang berbatu.
Jika berkunjung pada musim bunga, pastinya hamparan rumput hijau dan sungai yang berliku akan menyambut kita seperti yang dapat dilihat pada gambar dipaparkan setiap kali kempen promosi dilakukan biro pelancongan wilayah berkenaan.
Saya juga agak kecewa kerana hasrat melihat kehidupan sebenar orang Mongol tidak tercapai kerana semakin sukar untuk mencari perkampungan mereka, kecuali pekerja hotel dan resort serta penari kebudayaan yang berpakaian tradisional Mongol dan Han ketika menyambut kami. Namun, kekecewaan itu terubat dengan sambutan mesra sepanjang empat hari tiga malam di wilayah berkenaan.
Deretan gadis Han dan Mongol yang jelita dengan sutera biru di tangan, menguntum senyum menanti kami di setiap destinasi pelancongan. “Dulu orang Mongol tinggal di dalam yurt (khemah). Mereka berpindah-randah kerana mencari tanah subur untuk pertanian. Tetapi sekarang kebanyakan mereka sudah menetap di bandar, tinggal dalam rumah batu dan tidak perlu lagi berselimut tebal menahan kedinginan malam.
“Deretan yurt yang kita lihat sekarang adalah sebahagian daripada resort yang lengkap dengan pelbagai kemudahan, disediakan untuk pelancong dan orang kaya yang ingin merasai pengalaman tinggal di padang rumput,” kata Rocky atau nama sebenarnya Hao Shu Wei, 30.
Hohhot yang menjadi ibu kota Inner Mongolia adalah kota metropolitan di tengah kawasan lapang yang dipagari gunung-ganang. Di sebalik kepesatan pembangunan, masih ramai lagi warganya yang berpegang teguh pada agama.
“Kebanyakan orang Mongol menganut agama Buddha yang dibawa dari Tibet. Cuma di sini, ketokohan Genghis Khan lebih ketara sehingga dia dianggap seperti Tuhan dan patungnya mendapat tempat istimewa tidak sahaja di kuil, malah seluruh pelosok kota,” kata Rocky.
Genghis Khan atau nama asalnya Temujin adalah pemimpin tentera yang berjaya menyatukan bangsa Mongol dan pengasas Empayar Mongol pada kurun ke-13. Kehebatannya terbukti apabila menakluki sebahagian besar wilayah Asia, Timur Tengah dan Eropah hingga ke Poland. Saya sempat melawat Makam Genghis Khan di Ordos.
Kompleks makam yang dianggap suci oleh orang Mongol itu sebenarnya bukan tempat perkuburannya, tetapi lebih merupakan muzium sejarah kehidupannya.
Apa yang menarik di sini ialah ratusan patung tentera berkuda berserta pelbagai peralatan perang lain, ditempatkan di kawasan padang rumput yang cukup luas, seakan-akan gerombolan tentera yang sedang menuju medan perang Inner Mongolia juga kaya dengan sejarah silam.
Tidak hairanlah jika hampir setiap daerah memiliki muzium masing-masing daripada yang mempamerkan dinasour dan sejarah awal orang Mongol, hinggalah muzium moden yang menampilkan pelbagai kejayaan mereka. Selain padang rumput dan bandar moden, Inner Mongolia juga terkenal dengan pusat pelancongan padang pasir seperti di Xiangshawan.
Pelbagai tarikan pelancong ada di situ termasuk menunggang unta dan meredah padang pasir menaiki pelbagai jenis kenderaan lasak. Sememangnya Inner Mongolia memang menarik, tetapi datanglah pada waktu yang sesuai.
0 comments:
Post a Comment