Walaupun tiada kajian saintifik dilakukan, pengunjung percaya kawah lumpur di kawasan seluas empat hektar di kampung yang terletak 50 minit perjalanan dari bandar Limbang itu mempunyai khasiatnya tersendiri. Lumpur yang biasanya wujud di kawasan gunung berapi itu dikatakan wujud di kampung berkenaan sejak ratusan tahun lalu namun sehingga kini tiada fakta jelas mengenainya.
Ketika ini, lebih 40 kawah lumpur yang aktif pelbagai saiz antara satu ke dua meter berada di tapak lumpur bebuak. Bagi kawah besar, ia mampu menempatkan 10 hingga 20 individu dalam satu masa.
Ketua Kampung Meritam, Mahmud Gampal berkata, sehingga kini tiada siapa tahu bagaimana kawah lumpur berkenaan boleh muncul kerana ada versi mendakwa ia berpunca dari air laut akibat banjir, malah ada mendakwa pernah berlaku gegaran di kampung berkenaan sehingga terbentuknya kawah.
Menurut Mahmud, sifatnya yang sering meletus dan menghasilkan bunyi pelik menyebabkan penduduk tempatan menggelarkan lumpur ajaib itu sebagai lumpur bebuak. “Kawah lumpur bermula dengan terbentuknya busut sebelum meletus dan mengeluarkan bunyi seakan-akan cecair likat yang membuak-buak.
“Kejadian sama berulang beberapa minit kemudian. Selepas beberapa hari, ia akan menghasilkan kawah besar dipenuhi lumpur kehitaman yang likat, licin dan suam,”katanya.
Menariknya, menurut Mahmud, lumpur di kawasan itu sentiasa becak tanpa mengira keadaan cuaca sama ada kemarau atau musim hujan. “Selepas beberapa minggu, kawah bebuak ini akan kering dan menjadi seperti pasir atau digelar buta. Namun, ia bukan pengakhiran kerana akan ada kawah baru muncul di kawasan itu.
“Kawah lumpur bebuak ini berpindah-pindah dan ada satu ke dua kawah muncul di hutan milik tanah persendirian di kampung ini, tetapi ia tidak dikomersialkan,” katanya.
Mengenai ciri-ciri lumpur bebuak ini, Mahmud berkata, rasanya agak masin dan teksturnya yang licin memang sesuai untuk dilumur satu badan sebagai ‘masker’, malah dikatakan boleh menjadi terapi untuk menenangkan minda. Katanya, lumpur itu tidak berdasar kerana apabila berada dalam kawah, pengunjung seakan-akan terapung seperti berada di laut mati.
“Banyak misteri mengenai kewujudan lumpur ini yang belum terungkai termasuk keberkesanannya merawat penyakit. “Ada penduduk mendakwa mempunyai pengalaman tersendiri apabila lumpur panas berkenaan dikatakan boleh mengurangkan rasa gatal kulit apabila disapu berulang-kali,”katanya.
Keunikan lumpur bebuak ini menjadikan Kampung Meritam lokasi tarikan pelancong terutamanya dari Brunei yang ingin merasai pengalaman berendam dalam lumpur.
0 comments:
Post a Comment