KITARAN haid merupakan indikasi tahap kesuburan seseorang wanita walaupun kadangkala ia merunsingkan. Bagaimanapun, apabila kitaran haid ini mula menunjukkan tanda-tanda akan bernoktah ia sering dikaitkan dengan pelbagai komplikasi kepada kesihatan wanita.
Menopaus merupakan satu proses biologi semula jadi yang menamatkan tempoh kesuburan seseorang wanita. Bekas guru dan pensyarah sambilan pengajian Bahasa Inggeris di salah sebuah kolej swasta di sekitar Lembah Klang, Jagjeet Singh, 76, berkongsi pengalamannya menjalani kehidupan selepas menopaus selama lebih dua dekad. Ketika umurnya mencecah 53 tahun, dia melalui proses tersebut.
Ketika diberi tugasan untuk menggantikan pensyarah lain, peluh tiba-tiba membasahi seluruh wajah dan tubuhnya. “Tanpa memikirkan ia adalah simtom menopaus, keadaan itu menyebabkan saya mengalami keresahan melampau.
“Saya lantas bertanya kepada rakan seusia dan mereka mengatakan mungkin saya sedang mengalami fasa awal menopaus berdasarkan simptom itu,” katanya.
Sejak itu, dia kerap mengalami pening kepala, kitaran haid yang tidak menentu dan pendarahan. Berbulan-bulan lamanya, Jagjeet cuba memahami keadaan yang sedang dialami nya. Mengakui agak tertekan dengan fasa itu, akhirnya dia mendapatkan rundingan daripada pakar perubatan wanita dan konsultasi terapi. Sejak itu, dia lebih memahami mengenai menopaus.
Perlahan-lahan beliau menerima hakikat proses penuaan dengan lebih terbuka. “Jangan biarkan isu menopaus ini menghantui hidup anda secara senyap. “Ia merupakan proses normal yang pasti berlaku kepada setiap wanita.
“Sehubungan itu, masyarakat perlu lebih terbuka untuk berbincang dan bersedia untuk berhadapan isu ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran rawatan menopaus terapi penggantian hormon (HRT), Femoston Conti di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur baru-baru ini.
Femoston Conti merupakan terapi penggantian hormon (HRT) yang menggabungkan estrogen (estradiol) dan progesteron (dydrogesteron). Bahan aktif estradiol menyerupai estrogen manusia, manakala dydrogesterone adalah progesteron yang diaktifkan secara oral untuk memberi perlindungan daripada implikasi menopause.
Ia digunakan secara meluas dalam mengurangkan signifikan simptom menopaus. Menopaus ialah proses semula jadi yang menandakan pengakhiran kitaran haid akibat penurunan pengeluaran estrogen. Seiring dengan peningkatan usia, estrogen (hormon seks yang dihasilkan ovari) semakin berkurangan menyebabkan seseorang wanita itu menopaus.
Simptom
Pada ketika itu, ovari akan berhenti menghasilkan telur dan wanita tidak boleh lagi mengandung. Kebanyakan wanita akan mengalami menopaus pada usia lewat 40-an puluhan atau awal 50-an puluhan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Menopaus Malaysia, Dr. Ho Choon Moy menjelaskan, jangka hayat wanita di Malaysia yang semakin panjang menyebabkan kebanyakan wanita akan menghabiskan satu pertiga daripada hayat mereka dengan keadaan ini.
Katanya, gejala kekurangan hormon estrogen ini akan menganggu serba sedikit kehidupan wanita. Antara faktor yang terjejas apabila menopaus termasuk genetik, diet, senaman, kesihatan, gaya hidup dan ekonomi. Menurut beliau, simptom yang dialami oleh setiap wanita berbeza antara satu sama lain. Sebahagian wanita pula tidak mengalami sebarang simptom.
Kardiovaskular
“Antara tanda-tanda fizikal yang dialami para wanita pada fasa awal menopaus ialah sakit belakang, berpeluh malam, insomnia, rasa panas, sakit sendi dan pening kepala. Selain itu, mereka juga berkemungkinan mengalami ritma jantung yang tidak menentu, kekeringan faraj dan pertambahan berat badan.
“Selain tanda fizikal, simptom psikologi turut berlaku seperti depresi, emosi sensitif, gemuruh, sukar fokus, perubahan emosi, kerengsaan dan mudah lupa,” jelasnya.
Beliau mendedahkan, mereka yang menopaus juga berisiko mengalami osteoporosis dan penyakit kardiovaskular. Penurunan estrogen menyebabkan seseorang wanita mengalami kekurangan vitamin D. Bahkan lebih parah lagi, insiden retak tulang pinggul juga boleh berlaku kepada wanita berumur 50-an ke atas.
Estrogen ialah hormon wanita yang memainkan peranan utama dalam mengawal dan membina sistem reproduksi wanita. Ia juga berfungsi memelihara bahagian tubuh para wanita di mana terdapat reseptor estrogen seperti otak, hati, tulang dan jantung.
Menopaus menjadi kebimbangan kepada kira-kira 40 hingga 50 juta wanita bukan sahaja di Amerika Syarikat, malah seluruh dunia. Bagaimanapun, golongan wanita berupaya mengesan simptom-simptom yang mereka alami pada fasa awal menopaus. Kebiasaannya, menopaus mudah dikesan melalui diagnosis secara klinikal melalui laporan ujian makmal.
“Kriteria diagnosis menopaus adalah julat umur lewat 40-an hingga awal 50-an, tidak mengalami haid selama 12 bulan dan simptom-simptom lain. Sehubungan itu, masyarakat Malaysia khususnya perlu peka berhubungg simptom tersebut dan dinasihatkan berjumpa pakar perubatan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Farmaseutikal Abbott Malaysia, Lee Eng Peng memberitahu, menopaus merupakan isu kesihatan yang perlu diberi perhatian. Sebagai sebuah badan farmaseutikal di Malaysia, pihaknya memainkan peranan dalam memupuk kesedaran masyarakat mengenai menopaus.
“Tugas membantu masyarakat mendapatkan nasihat pakar dan alternatif perubatan lain merupakan keutamaan kami.
“Bahkan masyarakat juga perlu dididik mengenai menopaus supaya taraf kesihatan kaum wanita di negara ini dapat dipertingkat. Menurut beliau, ramai wanita rasa tersisih gara-gara simptom menopaus. Sehubungan itu, masyarakat sekeliling yang bertindak sebagai sistem sokongan perlu memainkan peranan mereka,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mengesyorkan masyarakat supaya lebih terbuka dalam menyampaikan maklumat yang betul mengenai menopaus.
0 comments:
Post a Comment