Kepelbagaian projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam kepada rakyat seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan projek Bandar Malaysia mampu mewujudkan rantaian dan limpahan kepada sektor ekonomi utama yang lain.
Ketua Penyelidik Ekonomi MIDF Research, Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata, pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur menjadi tunjang kepada perkembangan dan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara yang dilihat dapat membina jaringan komuniti perniagaan lebih bersepadu.
Beliau berkata, semua projek infrastruktur yang dilaksanakan kerajaan adalah pelaburan jangka panjang dan mampu memberi pulangan kepada semua pihak berkepentingan seterusnya menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Malaysia.
“Perancangan serta pembinaan yang sedang berlangsung dan sudah siap seperti projek Bandar Malaysia, Menara PNB118, kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dan pembangunan wilayah Iskandar Malaysia adalah contoh kepesatan serta kecekapan ekonomi negara.
“Malah, ia juga akan mewujudkan kesan berganda kepada pelaksanaan projek infrastruktur ini yang akan menjadi platform untuk menjana ekonomi setempat serta membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan,” katanya, di sini.
Bandar Malaysia terletak di Sungai Besi, Kuala Lumpur yang ketika ini adalah pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Pembangunan hartanah itu dijangka turut membabitkan pembinaan bandar bawah tanah terbesar dunia dengan keluasan 194 hektar.
Selain itu, Merdeka PNB118 dengan ketinggian 630 meter atau 118 tingkat bakal menjadi bangunan kedua tertinggi di Asia dan tersenarai sebagai ‘MegaTall Building’ kelima tertinggi di dunia serta dijangka siap pada 2020 dengan kos pembangunan sebanyak RM5 bilion.
Bagi projek HSR yang membabitkan landasan kereta api sepanjang 350 kilometer akan menghubungkan bandar raya Singapura dengan Kuala Lumpur dalam tempoh 90 minit serta mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai prestasi ekonomi negara sepanjang tahun ini, Kamaruddin berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangkakan berlegar pada kadar 4.1 hingga 4.2 peratus.
“Sektor ekonomi domestik masih kekal sebagai peneraju utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi pada 2016. Kelembapan sektor luaran dilihat sebagai cabaran dan halangan bagi Malaysia untuk mencatat pertumbuhan lebih baik,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 4.3 peratus pada suku ketiga tahun ini dan pihaknya menjangkakan pertumbuhan untuk suku keempat 2016 akan menurun menjadi kepada empat hingga 4.1 peratus,” katanya.
0 comments:
Post a Comment