Nama Bon Zainal Harun bukan asing dalam arena fesyen tanah air, malah kian dikenali ramai hingga ke peringkat antarabangsa. Bertemu empat mata dengan lelaki berusia 51 tahun ini, banyak cerita inspirasi dikongsi personaliti fesyen ini, khususnya berkaitan hala tuju pentas peragaan negara.
Gaya tuturnya penuh karisma, mencerminkan jati diri anak Terengganu yang membesar di ibu kota ini tidak pernah lupa pada keunikan fesyen tradisi, sekali pun namanya gah di pentas dunia. Menurut Bon Zainal, beliau optimis untuk mengejar impian sebagai pereka fesyen kreatif, versatil dan penuh daya inovasi.
Mendapat pendidikan khusus dalam bidang pemasaran fesyen di Amerika Syarikat pada 1985 sehingga 1990, pemilik jenama Bon Zainal ini terus mewarnai industri sebaik tamat pengajian. “Saya mengambil kursus pemasaran fesyen yang waktu itu tidak menjadi pilihan ramai. Namun atas dasar minat, saya memberi tumpuan kepada ilmu pemasaran dan belajar cara memotong baju.
“Sepanjang karier, saya juga aktif memberi ceramah dari segi imej dan penjenamaan diri, mendidik pereka muda, menjadi pensyarah Fakulti Fesyen di Management & Science University (MSU) dan kini sebagai Naib Presiden Persatuan Pereka Bumiputera (BDA),” katanya.
Bercerita lanjut mengenai kepakaran beliau menghasilkan fesyen lelaki, Bon Zainal berkata, ramai beranggapan ia suatu kerja mudah berbanding mereka busana wanita. “Pakaian lelaki sebenarnya memerlukan ketelitian dan fokus tidak kira dari segi kualiti fabrik, potongan mahupun rekaan. Ia menuntut kerja keras pereka untuk berinovasi dengan fesyen konvensional.
“Bagi saya sendiri, dalam tempoh lima tahun ini, nama Bon Zainal banyak tampil di pentas peragaan antarabangsa di Paris, Milan dan Australia. Saya menerima jemputan Minggu Fesyen untuk mewakili negara dan menjadi wakil fesyen lelaki rantau ini.
“Menariknya, rekaan pakaian menggunakan fabrik songket paling mendapat perhatian di Paris dan Milan sehinggakan ada sut yang terjual pada harga EUR3,000 (kira-kira RM14,000),” katanya.
Bagi Bon Zainal, beliau cenderung menggunakan songket untuk menghasilkan tuksedo dan jaket makan malam eksklusif. Pakaian itu biasanya sesuai untuk digayakan bagi acara penuh prestij, majlis korporat dan keraian rasmi.
“Terbaru, tiga jaket Bon Zainal diperagakan di pentas Minggu Fesyen New York pada 9 Februari lalu. Apa yang lebih mengujakan apabila saya diberitahu salah satu jaket itu nanti akan dipakai aktor popular pada Anugerah Oscar akan datang,” katanya tersenyum.
BEREKSPERIMEN DENGAN FESYEN
Menyentuh pasaran fesyen tempatan, Bon Zainal berkata, kuasa beli dan minat masyarakat Malaysia terhadap perkembangan fesyen semasa agak kurang berbanding di luar negara.
“Mungkin pemilihan fabrik itu sendiri tidak menarik minat orang tempatan untuk membeli. Di luar negara, mereka menganggap songket, tenun dan batik sebagai fabrik eksotik. Tapi kita di sini ibarat kain ‘di belakang rumah’.
“Kerana itu saya sentiasa mengingatkan pereka muda negara supaya mempunyai visi lebih jauh dengan sasaran pasaran luar negara. Tidak kira pereka lama atau baru, kita perlu berani untuk keluar dari zon selesa dengan mencuba pasaran global.
“Setiap pereka harus berinovasi dan bereksperimen dengan tekstil Malaysia. Kita ada banyak fabrik membanggakan termasuk batik, songket, tenun Pahang, juga tenunan pua. Semua ini eksotik di barat dan boleh dijadikan sut, jaket, kemeja, seluar, tali leher, tali leher kupu-kupu dan aksesori bersesuaian. Apa yang penting adalah penjenamaan yang betul,” katanya.
Selepas hampir tiga dekad menyerikan pentas peragaan tempatan dan antarabangsa, Bon Zainal kini mula memberi tumpuan serius kepada usaha mengembangkan butik yang membawa jenamanya. Walaupun sudah mempunyai perancangan teliti, Bon Zainal lebih suka mencuri sedikit masa untuk melakukan segala persiapan sendiri.
“Butik di Plaza Damas ini umpamanya, saya tidak mengambil khidmat pereka dalaman untuk menghias. Daripada lantai hinggalah ke dinding dan kemasan sekitar, saya lakukan sendiri dengan bantuan rakan serta pekerja.
“Pada saya, tidak perlu mengeluarkan sejumlah besar wang untuk membuka butik yang gah dan cantik sedangkan kita mampu menghias mengikut kehendak sendiri dengan bajet yang lebih kecil. Malah kerana sikap tidak sabar (memiliki butik cantik) inilah, ramai pemilik butik terpaksa gulung tikar. Mereka tidak pandai menguruskan kewangan dengan betul yang akhirnya memakan diri.
“Justeru, saya mengambil pendekatan lebih selesa dengan memperkenalkan bentuk perniagaan elektronik (e-dagang). Butik ini akan menghimpunkan semua keperluan fesyen jenama Bon Zainal dan rakan strategik dengan sistem terancang. Apabila semuanya lancar, barulah saya akan meneruskan perancangan membuka cawangan baru,” katanya.
Tambah beliau, banyak jenama fesyen tempatan yang kualitinya setanding luar negara boleh diangkat menerusi jalinan kerjasama pada masa akan datang.
KOLEKSI FESYEN
Seperti tahun sebelumnya, Bon Zainal tidak pernah mengecewakan pengikut fesyen apabila memperkenalkan koleksi jaket bermotif bunga-bungaan dan songket untuk wanita. Jelasnya, jaket bermotif bunga-bungaan yang dihasilkan sesuai digayakan ke pejabat, majlis ringkas mahupun santai.
“Jaket berkenaan sesuai dipadankan dengan jean, skirt mahupun seluar slack, manakala jaket labuh songket pula sesuai untuk melengkapkan gaya Muslimah kontemporari.
“Bagi fesyen lelaki, kami ada koleksi Regalia yang diperagakan sempena Minggu Fesyen Malaysia pada November lalu. Jaket ini memiliki potongan istimewa Bon Zainal dengan lapisan dalam yang menyerlah. Jaket fabrik kapas campuran ini sesuai digayakan ke majlis formal dan boleh didapati di butik Bon Zainal saja.
“Selain itu, kami juga mula mengeluarkan koleksi tradisi untuk sambutan Aidilfitri kelak. Baju Melayu klasik cekak musang dengan butang empat dan lima ini mempunyai pesak potongan moden,” katanya.
0 comments:
Post a Comment