PELUMBA Team Dimension Data, Ryan Gibbons dari Afrika Selatan terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu keseluruhan dengan mengekalkan Jersi Kuning selepas berakhirnya perlumbaan peringat keempat kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2017 semalam.
Pada perlumbaan peringkat keempat yang bermula dari Seri Manjung, Perak hingga Cameron Highlands, Pahang semalam, pelumba berusia 22 tahun itu berjaya meraih kedudukan ketiga dengan catatan masa 4’37:53 saat (s).
Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan Gibbons mencatatkan masa keseluruhan 15’25:58s, meninggalkan pencabar terdekat, Cameron Bayly dari pasukan Isowhey Sports Swisswellness (Australia) dengan perbezaan masa 11 saat.
Selain berjaya mengekalkan gelaran Jersi Kuning, perlumbaan sejauh 174.40 kilometer (km) itu turut mencatatkan satu lagi kejayaan buat Team Dimension Data menerusi kemenangan yang diraih oleh Mekseb Debesay.
Gibbons ketika ditemui mengakui masih tidak menyangka bahawa dia terus mengungguli gelaran pendahulu keseluruhan memandangkan laluan peringkat keempat itu adalah laluan yang paling sukar pada LTdL kali ini.
“Pada mulanya saya tidak memberi jaminan untuk mengekalkan Jersi Kuning kerana saingan pada perlumbaan peringkat keempat ini memberi kelebihan kepada para pelumba yang memiliki kekuatan mendaki.
“Saya telah beberapa kali tercicir daripada kelompok pertama, namun berjaya mengejar hasil bantuan rakan-rakan pasukan. Malah saya juga seakan-akan sudah berputus asa semasa perlumbaan ini berlangsung kerana ramai pakar bukit berada di sini terutamanya dari Columbia dan Itali,” jelasnya.
Walaupun gelaran empat jersi utama yang ditawarkan pada perlumbaan yang memasuki edisi ke-22 itu akan bertukar tangan, namun ternyata aksi semalam masih mengekalkan skrip sama seperti perlumbaan peringkat ketiga yang bermula dari Serdang, Kedah hingga Pantai Remis, Perak kelmarin.
Jersi Biru selaku Raja Pecut masih kekal menjadi milik jaguh pecut dunia dari pasukan Isowhey Sports Swisswellness (Australia), Scott Sunderland dengan mengumpul 27 mata. Gelaran Raja Bukit (Jersi Polka Dot) turut kekal menjadi milik John Kronborg Ebsen dari pasukan Infinite AIS Cycling Team (Thailand) dengan mengumpul 29 mata keseluruhan.
0 comments:
Post a Comment