Semua pihak sedang memerhati dengan penuh minat, siapakah yang akan dipilih oleh Proton Holding bagi membentuk satu kerjasama strategik pemasaran. Ini sejajar dengan cadangan kerajaan yang mahu Proton Holding mencari rakan perniagaannya bagi membantu melonjakkan jualan kereta Proton disamping menambah masuk cadangan-cadangan komprehensif bagi menaikkan semula imej Proton.
Tidak dinafikan bahawa banyak pihak di luar menunjukkan minat terhadap Proton.Lihat sahaja bagaimana kecenderungan Peugeot, Renault, Volkswagon dan beberapa pengeluar kereta Jepun, menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Proton dan sekaligus membantu syarikat pengeluar kereta tempatan itu keluar dari zon selesanya di pasaran tempatan.
Malah, sebelum ini juga Proton juga pernah cuba untuk menjalinkan kerjasama dengan banyak pihak dari luar seperti Renault, Volkswagon, Mitsubishi, Honda dan Suzuki. Namun dengan ketidak seriusan pentadbiran Proton untuk meneruskan kerjasama ini, Proton kekal dalam keadaan seperti yang kita lihat hari ini.
Persoalannya kini, siapakah pilihan Proton? Perkembangan terkini menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya dua buah syarikat automotif antarabangsa berminat untuk menjalinkan kerjasama dan seterusnya menguasai saham Proton. Dua syarikat berkenaan adalah PSA (Peugeot) dan Geely Automotive Ltd. Menariknya, kedua-dua syarikat ini dari dua buah benua yang berbeza.
PSA sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Syarikat Automotif utama Perancis ini terkenal dengan penghasilan kereta-kereta yang tahan lasak. Malah, PSA sendiri sudah memasuki era baru dengan mula mencabar penguasaan Mercedes Benz dan BMW untuk pasaran kereta mewah eksekutif di pasaran Eropah.
Di Malaysia sendiri, jenama Peugeot sudah cukup terkenal. Selain Ford, Mercedes Benz dan BMW, jenama Eropah ini sudah lama bertapak di Malaysia dan antara jenama yang mendapat kepercayaan rakyat Malaysia bagi segment kereta sedan dan hatchback.
Mungkin, jika Proton memutuskan untuk menjalinkan kerjasama dengan PSA, ada kemungkinan jenama Proton akan mudah dipasarkan ke benua Eropah selain mendapat sentuhan kejuruteraan dari Eropah yang terkenal menghasilkan kereta dan alat ganti bermutu tinggi.
Bagaimana pula andai Proton memilih Geely? Bagi rakyat Malaysia, jenama Geely mungkin asing namun jika kita menyebut jenama Cherry, mungkin ramai yang akan mengenalinya. Geely bukanlah sebarang pemain industri di benua Asia dan Eropah. Pengalaman Geely dalam memasarkan serta menghasilkan alat ganti bagi jenama Volvo di China, cukup disegani oleh Eropah mahupun Asia.
Geely telah berjaya memecah monopoli kereta mewah Jerman seperti BMW dan Mercedes apabila melonjakkan jualan Volvo di pasaran China dan Asia. Jadi tidak hairanlah andai Proton juga mampu mengecapi keluasan pasaran hasil daripada sentuhan Geely.
Harus diingat, produk yang dihasilkan Proton adalah sesuai dengan pasaran Asia dan jika Proton memilih untuk menguasai benua Asia terlebih dahulu, Geely adalah jawapan yang paling tepat.
Namun begitu, walau apa jua cadangan mahupun penilaian awal, semuanya terserah kepada pihak pengurusan Proton untuk menilainya. Seperti yang digariskan kerajaan, Proton bukanlah salah sebuah syarikat milik kerajaan dan Proton berhak memilih rakan perniagaan strategiknya mengikut keperluan dan kehendak syarikat.
Dalam masa yang sama, Proton juga harus sedar, jenama ini mempunyai nilai sentimentalnya yang tersendiri buat rakyat Malaysia. Apa yang harus diberi keutamaan oleh Proton, nilai perniagaan dan urusan yang efisyen supaya kerugian yang mencecah lebih RM 15 bilion tidak lagi berulang pada masa akan datang.
0 comments:
Post a Comment