Rakyat Malaysia dinyatakan sebagai pesakit diabetes tertinggi di rantau Asia Tenggara dengan anggaran 3.5 juta orang dan bilangan pesakit meningkat dengan pesat mencecah 4.5 juta menjelang 2020. Lebih membimbangkan, bilangan pesakit muda menghidap diabetes berusia 18 hingga 35 tahun meningkat 300 peratus sejak 15 tahun lalu.
Malangnya, diabetes adalah penyakit ditanggung sepanjang hayat, malah kos rawatannya juga amat membebankan. Pada 2010, beban penjagaan kesihatan berkaitan diabetes menelan kira-kira 16 peratus daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan kebangsaan yang berjumlah RM2.4 bilion sekali gus mengancam pengurusan keseluruhan penyakit ini.
Oleh itu, bagi memastikan akses kepada ubat-ubatan berkualiti tinggi mampu dimiliki dan pada masa sama berkesan untuk menguruskan beban rawatan diabetes, Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) memperkenalkan terapi insulin glargin biosimilar yang pertama di negara ini dikenali sebagai Basalog.
Hormon buatan itu yang dihasilkan dalam badan berfungsi mengurangkan tahap glukosa (gula) dalam darah dibangunkan bersama Biocon Ltd dari India mempunyai analog insulin manusia dengan jangka hayat lama yang mampu bertindak beberapa jam selepas suntikan sehingga 24 jam.
Terapi insulin berkenaan dikatakan mampu milik apabila menawarkan rawatan yang murah dan berbaloi dari segi kos serta sudah melalui ujian antarabangsa dan memperoleh kelulusan dalam pasaran yang mempunyai peraturan sangat ketat seperti di Jepun.
Menurut Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan, Hospital Peringatan MS Ramaiah di Bangalore, India, Profesor Dr Mala Dharmalingam, terapi insulin biosimilar menawarkan pematuhan kawalan glukosa yang lebih baik dengan satu suntikan.
Ia menggantikan insulin lain yang tidak bertindak untuk 24 jam, malah mengurangkan ketidakselesaan pelbagai suntikan insulin dan mengelakkan kemungkinan mendapat gula darah rendah atau hipoglisemia.
“Satu kajian selama 24 minggu bagi menilai keselamatan, toleransi dan kecekapan ubat ini dijalankan terhadap 119 pesakit diabetes di Malaysia menunjukkan insulin biosimilar memiliki setara daripada segi biologi daripada ubat asal.
“Insulin biosimilar bertoleransi dengan baik malah cekap dalam rawatan pesakit. Ini berpotensi mengurangkan kos rawatan dan meningkatkan had mampu milik terhadap insulin,” katanya.
Menurutnya, terdapat keperluan besar dalam perubatan yang belum dipenuhi bagi mendapatkan ubat biosimilar yang berkualiti tinggi dan harga berpatutan. “Kami menjalankan percubaan klinikal penggunaan insulin glargin biosimilar di Jepun dan hasilnya pihak berkuasa perubatan di sana meluluskan pengedaran ubat ini untuk kegunaan pesakit diabetes di negara terbabit.
“Kelulusan penggunaan insulin glargin ini diperoleh selepas melengkapkan kajian klinikal Fasa III membabitkan 250 pesakit diabetes Jenis 1. Percubaan klinikal menunjukkan insulin glargin biosimilar cekap mengawal gula darah sama seperti inovasi glargin sebelumnya.
“Malah, penggunaan dos harian insulin tidak ada beza dengan yang lain dan kesan sampingan penggunaan ubat berkenaan juga tidak dilaporkan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Dr Zanariah Hussein berkata terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk insulin biosimilar berikutan ubat biosimilar adalah susulan pada versi ubat biologi asal.
“Selain kosnya lebih efektif dari ubat inovasi asal, ia juga sama daripada segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan dalam merawat penyakit,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan CCM, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, dengan anggaran 3.5 juta pesakit diabetes di negara in, pihaknya berharap dapat menambah baik pengurusan penyakit terbabit.
“Syarikat komited bekerjasama dengan pihak berkuasa dan komuniti penjagaan kesihatan profesional dalam membantu rakyat Malaysia serta kerajaan mengurangkan perbelanjaan penjagaan kesihatan menerusi penggunaan insulin biosimilar berkualiti tinggi.
“Basalog disyorkan kepada pesakit diabetes Jenis 1 dan 2, malah ia juga diluluskan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK),” katanya.
0 comments:
Post a Comment