Pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Malaysia minggu lalu membuktikan kekejaman Pyongyang dan ‘taktik keganasannya yang semakin berani’, kata Perdana Menteri Korea Selatan, Hwang Kyo-ahn semalam.
Para pegawai Korea Selatan dan Amerika Syarikat berkata, mereka percaya Jong-nam, 46, dibunuh ejen Korea Utara. Diplomat Pyongyang di Kuala Lumpur juga, kata mereka, cuba menghalang bedah siasat dilakukan ke atas mayat mangsa dan menuntut penyerahannya.

Dalam ucapannya kepada Majlis Keselamatan Negara, Kyo-ahn berkata, adalah hampir pasti Korea Utara merupakan dalang di sebalik pembunuhan Jong-nam, anak lelaki sulung bekas pemimpin Korea Utara, mendiang Kim Jong-il.
“Pembunuhan ini dilakukan di hadapan khalayak di sebuah lapangan terbang antarabangsa negara ketiga (Malaysia), menjadikan ia jenayah tidak berperikemanusiaan dan jelas membuktikan kekejaman dan sikap melulu rejim Korea Utara yang sanggup melakukan apa sahaja demi kesinambungannya.
“Seperti yang dilihat dalam kes ini, rejim Korea Utara semakin berani dalam taktik keganasannya justeru, kita perlu lebih berwaspada tentang kemungkinan (tindakan) keganasan oleh Pyongyang terhadap kerajaan dan rakyat kita (Korea Selatan),” kata Kyo-ahn.

Sementara itu, kesungguhan Malaysia melakukan bedah siasat dan keengganannya menyerahkan mayat Jong-nam kepada pegawai Korea Utara menyebabkan hubungan diplomatik kedua-dua negara itu merosot. Malaysia merupakan antara segelintir negara yang mengekalkan hubungan baik dengan Korea Utara.
Terbaharu, wujud spekulasi bahawa China tidak dapat bersabar lagi dengan Korea Utara berikutan pembunuhan Jong-nam. Mendiang tinggal di Macau, sebuah wilayah yang dikuasai China.
0 comments:
Post a Comment