My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 28 February 2017

    Kongsi Ilmu Dengan Remaja



    Golongan remaja yang sering terdedah kepada penggunaan Internet membuatkan mereka lebih terbuka kepada sumber maklumat yang luas termasuk sukar menilai perkara sahih ataupun tidak. Penggunaan laman sosial yang sering menyebarkan maklumat tidak sahih membuatkan mereka memerlukan bimbingan dalam memilih maklumat tepat. 

    Menyedari hal itu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Siswazah Sabah (PSS) mengambil peranan memberi motivasi, kerohanian, kepemimpinan dan pengurusan sesebuah organisasi khususnya dalam kalangan pelajar.

    Persatuan yang mempunyai visi ingin menjadi sebuah organisasi terunggul dalam membentuk masyarakat yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek melalui pembudayaan ilmu itu kini mempunyai ahli lebih 500 orang sejak ia ditubuhkan pada 27 Ogos 2004.

    Setiausaha Agung PSS, Hasmadi Hasbi, 28, berkata, pembabitannya dalam PSS sejak tujuh tahun lalu memberi pengalaman berharga kepada dirinya, selain berkongsi ilmu dengan remaja. Katanya, remaja kini adalah aset berharga kepada agama, bangsa dan negara yang perlu dijaga, selain dididik agar tidak terjebak dengan perkara yang berunsur negatif.

    “Mereka (remaja) mempunyai potensi yang boleh digilap untuk dimanfaatkan masyarakat setempat selain mudah dibentuk. Selain itu, mereka juga antara golongan yang mudah terpengaruh dengan apa juga yang dilalui dan di sini kami mengambil kesempatan untuk mengisi kehidupan mereka dengan aktiviti berfaedah,” katanya.

    Menurutnya, aktiviti berfaedah itu berupaya memberi nilai tambah kepada mereka, selain menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Hasmadi yang bekerja sebagai Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah mengakui banyak memerlukan wang dalam menggerakkan aktiviti yang dirancang persatuan itu.

    Katanya, sumbangan dan pengorbanan yang diberikan amat sedikit nilainya berbanding pengalaman dan ilmu yang diperoleh daripada program dianjurkan untuk remaja yang menyertainya. “Nilai yang berharga bukanlah pada wang ringgit, tetapi pada kepuasan selepas melaksanakan program.

    “Saya gembira apabila suatu perkara dapat dikongsi khususnya dengan generasi muda yang sudah pasti akan dapat mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kongsi Ilmu Dengan Remaja Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top