“Masih terngiang-ngiang di telinga saya mereka menjerit meminta tolong sebelum lenyap dibawa arus sungai,” kata Frankly Francis, 48, yang terselamat dalam kejadian perahu karam di Sungai Baram, dekat Kampung Muhibbah di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, perahu dinaiki Frankly bersama Umpon Ungat, 68, Baharudin Masbak, 47 dan Steward Umpon, 18, karam di sungai ketika mereka membawa sayur berhampiran kampung berkenaan. Frankly dan Baharudin sempat memaut perahu sebelum berenang ke tebing sungai kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian, manakala dua beranak, Umpon dan anaknya, Steward terkorban dalam kejadian itu.
Menurut Frankly, perahu yang mereka naiki terbalik akibat angin kuat serta arus sungai tiba-tiba deras. Katanya, Umpon yang juga jurumudi perahu tercampak bersama yang lain, manakala dia terperangkap di bawah perahu dan Baharudin pula memaut perahu.
“Selepas keluar daripada bawah perahu itu, saya terdengar Umpon menjerit memanggil Budin (nama panggilan Baharudin), sebelum dia lenyap bersama anaknya. Saya dan Budin cuba menyelamatkan mereka, tetapi Umpon dan Steward terus hilang daripada pandangan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat Steward pada jam 8.30 pagi, manakala mayat bapanya, Umpon ditemui jam 3.40 petang di kawasan sungai berkenaan, semalam. Isteri Umpon, Banjau Endok, 60, berkata, suami dan anaknya itu keluar rumah pada jam 8 malam kerana menghantar sayur di kawasan kampung di seberang sungai.
“Ada orang pesan sayur. Kebiasaannya suami hanya pergi seorang diri, tetapi kebetulan anak saya cuti dan mahu membantunya. “Saya cukup terkilan dengan kehilangan mereka berdua. Mungkin semua ini sudah takdir dan saya menerimanya walaupun sangat sukar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.30 malam kelmarin sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dan BBP Marudi dikerahkan ke lokasi.
“Selain bomba, operasi SAR turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam (APM) Miri dan Pasukan Polis Marin (PPM) bersama penduduk kampung. “Mayat kedua-dua mangsa sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dituntut keluarga mereka,” katanya.
0 comments:
Post a Comment