Negara digemparkan dengan berita bayi berusia tiga bulan maut akibat dikelar ibunya sendiri baru-baru ini. Peristiwa tragis itu bukan pertama berlaku malah sebelum ini kita pernah disajikan dengan berita bayi dicampak dari pangsapuri akibat masalah sama. Jika difikir secara logik akal, seorang ibu yang waras tidak akan tergamak berbuat demikian terhadap zuriat sendiri.
Dalam keadaan tertentu, gangguan fikiran dan emosi dihadapi menyebabkan sesetengah ibu bertindak di luar kawalan. Bagi masyarakat kita, ia dipanggil meroyan atau kemurungan postpartum yang berlaku selepas melahirkan anak.
Mengikut ilmu perbidanan Melayu, meroyan atau merian hendaklah diberi perhatian kerana penyakit itu akan berlarutan seumur hidup sekiranya dibiarkan tanpa rawatan. Perunding Perbidanan dan Sakit Puan juga Pakar Kesuburan Pusat Perubatan Tropicana, Dr Nurhazinat Mohamed Yunus berkata meroyan adalah masalah mental selepas bersalin atau acut psychosis.
“Meroyan dikenali dalam kalangan ahli perubatan sebagai postpartum depression (PPD) satu bentuk kemurungan klinikal (clinical depression) yang menjejaskan wanita, dan kadangkala lelaki selepas kelahiran anak.
“Terdapat beberapa jenis meroyan yang biasa menyerang wanita selepas bersalin antaranya postpartum blues, pospartum depression dan yang paling merisaukan ialah pospartum psikosis,” katanya ketika ditemui di hospital itu baru-baru ini.
Menurutnya, postpartum adalah masalah biasa dan tidak perlu dirisaukan. Ada yang mengalaminya pada kelahiran pertama saja. Antara gejalanya ialah rasa tertekan, sedikit murung, sedih, mudah menangis, berasa terlalu terharu tanpa sebab dan emosi cepat berubah.
“Postpartum depression pula ialah ibu yang mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidap kemurungan, hilang selera makan, cepat letih, tidak yakin dan rasa bersalah serta mudah marah. Pospartum psikosis pula adalah keadaan yang paling merisaukan di mana ibu akan mendengar suara halus yang menyuruh melakukan perkara di luar batasan seperti yang terjadi baru-baru ini,” katanya.
Beliau juga memberitahu, sokongan dan perhatian suami dan keluarga memainkan peranan terpenting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.
“Misalnya jika isteri mengadu atau meluahkan perkara yang agak tidak masuk akal seperti rasa mahu membunuh bayi, ambilnya sebagai perkara yang serius dan jangan menganggap ia sekadar gurauan. Dalam keadaan seperti ini, sokongan ahli keluarga, terutama suami, sangat penting. Suami perlu beri kerjasama menjaga anak seperti bangun malam atau membantu menukar lampin, supaya isteri boleh mendapat tidur yang cukup.
“Kurang sokongan daripada suami dan ahli keluarga boleh menyebabkan wanita mengalami kemurungan. Apabila ini berlaku dan tidak dibantu segera, masalah jadi lebih berat kerana pesakit tidak dapat mengawal perasaan dan dibelenggu pelbagai perkara yang menekan fikiran,” katanya.
Dr Nurhazinat berkata, kehamilan yang tidak dirancang atau tidak dikehendaki juga boleh menjadikan wanita tertekan dan murung selepas bersalin. Kajian menunjukkan hampir 70 peratus kehamilan yang berlaku adalah tidak dirancang dan ini meningkatkan risiko untuk mengalami kemurungan.
INFO: Jenis meroyan mengikut kepercayaan masyarakat Melayu
1. Meroyan Api
- Ibu akan menjadi bengis, baran, cepat marah hingga tahap menjerit dan lupa diri
- Perubahan mood yang ketara
- Perubahan sikap lebih ketara ketika datang bulan
2. Meroyan Ketung
- Ibu menjadi murung, hiba, sayu, mudah menangis, perasa (sensitif) dan ada kalanya kelihatan seperti bodoh
- Kebanyakan berlaku kepada ibu yang kehilangan anak
- Ada kes sehingga membunuh diri
3. Meroyan Urat
- Ibu mengalami ketegangan urat sarat sehingga sentiasa mengeraskan diri seperti mengalami kekejangan otot
- Selalu berlaku ketika cuaca sejuk, atau jika ibu tersilap makan benda yang bersifat sejuk
- Berlaku kepada ibu yang melakukan kerja berat atau banyak menggunakan urat besar sejurus lepas bersalin
4. Meroyan Lendir
- Ibu sentiasa pucat, lesu, mata pudar, keguguran rambut dan badan menjadi susut
- Keguguran rambut yang melampau
- Mengalami masalah dingin seks terhadap pasangan
- Penyebab utama apabila darah kotor dan angin jahat di dalam tubuh tidak dikeluarkan sepenuhnya sepanjang tempoh berpantang
5. Meroyan Tinggal
- Ibu tiba-tiba asyik berleter, bercakap seorang diri dan mengambil peluang melarikan diri dari rumah - Ibu mungkin tidak mahu bayinya sendiri
- Ada tahap sehingga menjadi ganas
6. Meroyan Bulu
- Ibu sentiasa seram sejuk selepas bersalin
- Jika berlarutan, ibu akan mula menghidap rheumatoid artiritis atau keradangan sendi
- Ini berlaku apabila ibu banyak bermain air dan bersejuk ketika berpantang
7. Meroyan Kulit
- Ibu akan berasa gatal serta miang seluruh badan dan tergaru-garu seperti kera
- Ia berlaku disebabkan darah kotor tidak habis keluar menyebabkan kekotoran keluar melalui liang roma peluh
- Ini akan berterusan jika darah nifas tidak habis dikeluarkan sepanjang tempoh berpantang
Antara simptom
- Terlalu lesu
- Hilang kegembiraan untuk menjalani hidup
- Tidak boleh tidur malam (insomnia)
- Sedih keterlaluan
- Menangis tanpa sebab
- Resah gelisah
- Berasa diri tidak berharga
- Sentiasa berasa bersalah
- Emosi mudah terganggu
- Hilang selera makan
- Tidak boleh menumpukan perhatian
Antara punca
- Pernah mengalami kemurungan, sama ada pada diri sendiri atau ahli keluarga (termasuk skizofrenia)
- Perubahan hormon yang banyak (perubahan hormon mendadak boleh merangsang kemurungan)
- Tekanan
- Kurang sokongan keluarga
- Gangguan psiko sosial seperti masalah perkahwinan atau pergaduhan
- Tidak cukup tidur kerana terpaksa bangun malam untuk menyusukan anak
- Melahirkan anak yang tidak dikehendaki (unplaned pregnancy)
- Kekecewaan akibat terlalu inginkan anak lelaki, tetapi dianugerahkan anak perempuan (atau sebaliknya)
0 comments:
Post a Comment