Seorang kru kapal maut dan tiga lagi cedera selepas terhidu gas beracun di dalam kapal semasa dalam perjalanan menghantar beras di perairan Filipina pada jam 4 pagi, kira-kira 117 batu nautika dari sini. Mangsa dikenali sebagai Hoang Van Chuyen, 33, disahkan meninggal dunia di kapal Vietnam MV Vimaru Pearl yang berlayar dari bandar Ho Chin Mieh, Vietnam menuju ke Filipina.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata kejadian kira-kira jam 5.55 petang itu membabitkan sebuah kapal yang membawa beras sebanyak 6,300 tan ke Filipina.
“Ketika kejadian mangsa dan tiga lagi kru kapal sedang menjalankan tugas sebagai jurutera di bahagian bilik enjin kapal yang berada di perairan antarabangsa antara Filipina dan Vietnam.
“Mangsa dan kru kapal lain kemudiannya dilaporkan berasa kurang selesa dan mengalami kesukaran bernafas sebelum mangsa pengsan secara tiba-tiba dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.
Menurutnya kapal kargo yang membawa 21 kru kapal itu kemudiannya tiba di Pelabuhan Kota Kinabalu di sini selepas kapten kapal menghubungi pelabuhan terdekat bagi mendapatkan bantuan.
“Pemeriksaan awal pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak ambulans mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan terhidu gas jenis ‘carbon monoxide’.
“Tiga mangsa berumur 27 hingga 32 tahun yang terhidu gas kini sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu dan berada dalam keadaan stabil,” katanya sambil menambah, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Sabah Kahirul Azwan Ibrahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak Pelabuhan Kota Kinabalu pada jam 2.34 petang yang memerlukan bantuan penyelamatan membabitkan bahan kimia berbahaya.
“Sebaik kapal kargo berlabuh di Jeti Pelabuhan Kota Kinabalu pada jam 6.30 petang, anggota bomba segera menjalankan operasi penyelamatan dengan mengeluarkan mangsa dari kapal terbabit. Tiga mangsa berada dalam keadaan stabil manakala seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital dan dihantar ke HQE untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurutnya operasi penyelamatan membabitkan 35 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Lintas dan Penampang.
0 comments:
Post a Comment