Ketibaan Penjaga Dua Masjid Suci Umat Islam ke Malaysia semalam nyata disambut dengan penuh adat istiadat negara. Ini adalah kunjungan julung-julung kalinya Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia sejak ditabalkan menjadi Raja Arab Saudi pada 23 Januari 2015.
Namun, disebalik kunjungan DiRaja ini, bagi pihak pembangkang terutamanya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terutamanya Tun Dr Mahathir selaku Pengerusinya, mereka melihat kunjungan ini bukanlah satu kunjungan negara sahabat, sebaliknya ia adalah kunjungan penuh muslihat seperti yang dinyatakan Mahathir pada ceramah di Sungai Buloh, Sabtu lalu.
Lebih melucukan, ada dakwaan yang tersebar sejak Sabtu lalu mendakwa, kerajaan Arab Saudi tidak mempunyai wang yang cukup sehingga terpaksa menggadaikan Aramco, sebuah syarikat cari gali minyak Arab Saudi kepada pihak Petronas. Tidak cukup dengan itu, pelbagai tohmahan turut dilemparkan terhadap kunjungan bersejarah ini.
Apa yang menarik untuk diperkatakan adalah, bagaimana Mahathir, pihak pembangkang dan PPBM cukup iri hati dengan kunjungan ini. Sebelum ini, mereka langsung tidak mempercayai sumbangan RM 2.6 bilion itu datangnya dari kerajaan Arab Saudi. Namun sehingga kini, langsung tiada sebarang usaha dari mana-mana pihak di pembangkang untuk bertemu sendiri dengan Raja Salman bagi mendapatkan penjelasan.
Bagi Mahathir, kunjungan ini ternyata menambah perasaan dendamnya terhadap Datuk Seri Mohd Najib. Manakan tidak, sepanjang 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri, tidak pernah walau seorangpun Raja Arab Saudi singgah ke Malaysia. Sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, hanya beliau sahaja yang mengadakan kunjungan ke Arab Saudi namun kunjungan ini tidak pernah berbalas.
Apa yang melucukan, Mahathir sanggup mengeluarkan belanja puluhan juta hanya untuk bertemu dengan Presiden Amerika, George W Bush di White House. Namun, untuk mengeluarkan belanja bagi mengunjungi Raja Arab Saudi, amat sukar sekali untuk beliau lakukan.
Hari ini, peluang telah terbuka untuk Mahathir bertanya sendiri dengan Raja Arab Saudi berhubung derma berkenaan. Namun, apa yang beliau lakukan hanyalah berterusan menabur fitnah terhadap Baginda dan Datuk Seri Mohd Najib dan langsung tiada sebarang usaha dari beliau untuk mendapatkan kebenaran disebalik dakwaan beliau.
Kepada pentaksub Mahathir, sukalah diingatkan bahawa pihak Petronas amat berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Aramco dan perkara ini sudah diperkenankan oleh Baginda Raja Salman. Tidak timbul dakwaan Raja Salman mahu menjual Aramco kerana kerajaan Arab Saudi tidak pernah berada pada tahap kesukaran untuk mendapatkan wang sehingga kini.
Berhentilah memperbodohkan diri dengan melemparkan pelbagai dakwaan yang karut. Apa yang pasti, Mahathir sudah luput dari imej negarawan kerana imej dan kredibiliti seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi nyata telah menenggelamkan imej Mahathir. Tun Abdullah sendiri turut hadir sewaktu menyambut ketibaan Raja Salman semalam. Di mana Mahathir?
0 comments:
Post a Comment