Bagaimanapun, pada 5 April 1994, seluruh dunia tersentak apabila Cobain membunuh diri dengan menembak dirinya di kediamannya di Seattle, Amerika Syarikat. Tindakan Cobain yang ketika itu baru berusia 27 tahun bukan saja menamatkan riwayatnya, tetapi juga kesengsaraannya selain sebagai simbolik berakhirnya muzik grunge.
Ketika hayatnya atau lebih tepat ketika di kemuncak kerjayanya, Cobain berdepan masalah dadah, kesihatan dan depresi. Tekanan akibat populariti yang diterima bersama Nirvana turut membuatkan Cobain berdepan masalah depresi.
Penulis dan wartawan muzik, Charles R Cross dipetik sebagai berkata, nama Cobain kekal sebagai antara pemuzik terpenting hingga hari ini. “Album bersama Nirvana terutama Nevermind pada 1991 terus diangkat sebagai antara rakaman album rock terbaik sepanjang zaman,” katanya.
Charles menghasilkan tiga buku mengenai Cobain iaitu Heavier Than Heaven: A Biography of Kurt Cobain, Cobain Unseen, Little, Brown and Company dan Here We Are Now: The Lasting Impact of Kurt Cobain. Bagi Charles, sumbangan utama Cobain dalam penciptaan lagu ialah dia membuka jalan kepada pencipta lagu lain menghasilkan lagu yang lebih beremosi.
Lagu Nirvana seperti Lithium dan Rape Me adalah antara contoh mengenai masalah depresi yang dialaminya. Bukan saja berbakat besar dalam muzik, Cobain juga handal sebagai pelukis dan karyanya banyak dimuatkan dalam kulit album Nirvana.
Nirvana yang turut dianggotai oleh Krist Novoselic (bass) dan Dave Grohl (dram) bukanlah perintis muzik grunge seperti Green River, Soundgarden, The Melvins, Malfunkshun, Skin Yard dan The U-Men yang turut berasal dari Seattle, tetapi ledakan Nevermind yang juga album kedua mereka di pasaran muzik arus perdana membuatkan mereka menjadi fenomena.
Ia membuatkan peminat muzik mula mencari band Seattle yang lain seperti Pearl Jam, Soundgarden dan Alice In Chains yang akhirnya turut meledak di seluruh dunia. Pengaruh Nirvana bukan setakat band rock generasi kemudian seperti Fall Out Boy, Cage The Elephant dan Cloud Nothings, tetapi juga artis lain.
Bintang rap, Jay Z memasuk sedikit lirik lagu popular Nirvana, Smells Like Teen Spirit dalam lagunya, Holy Grail yang turut menampilkan Justin Timberlake.
Sehingga hari ini, album Nirvana terjual lebih 75 juta unit di seluruh dunia dan mereka turut disenaraikan dalam Rock and Roll Hall of Fame pada 2014. Video muzik Smells Like Teen Spirit yang dimuat naik di YouTube pada 16 Jun 2009 kini mencatat tontonan hampir 500 juta pelayar Internet.
Cobain tetap di hati
Frances Cobain yang berkahwin dengan Courtney Love, yang juga penyanyi kumpulan Hole pada 1992 dikurniakan seorang anak perempuan yang dinamakan Frances Bean Cobain. Frances yang kini berusia 24 tahun adalah antara model yang semakin dikenali. Tahun ini dia dipilih sebagai wajah untuk koleksi musim bunga Marc Jacobs.
Ketika Cobain meninggal dunia, Frances baru berusia setahun lapan bulan. Bagaimanapun, mendiang bapa tetap dekat di hatinya. Isnin lalu yang juga hari jadi ke-50 bapanya, Frances menulis ucapan hari jadi yang menyentuh hati banyak pihak di Instagram.
“Today would’ve been your 50th birthday. You are loved and you are missed. Thank you for giving me The GIFT of Life. Forever your daughter, Frances Bean Cobain.”
Kata-kata yang ditulis dengan tulisan tangan itu turut meletakkan tarikh hari jadi Cobain iaitu 20 Februari 2017. Sekiranya Cobain masih hidup, dia pasti bangga dengan apa yang dicapai oleh Frances. Selain makin dikenali sebagai model, Frances turut memiliki bakat Cobain dalam bidang lukisan.
0 comments:
Post a Comment