My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 28 February 2017

    Oscar : Mimpi Ngeri La La Land, Kemenangan Moonlight


    Berlangsung dengan sempurna pada awal majlis, Oscar ke-89 berakhir dengan kejutan. Adakah ia hanya satu gimik atau kesalahan sebenar apabila anugerah terakhir dan utama iaitu Filem Terbaik salah diumumkan oleh Warren Beatty dan Faye Dunaway? 

    Anugerah keramat tersebut sepatutnya milik naskhah Moonlight karya Berry Jenkins, bukannya hak La La Land, filem yang telah melakar sejarah apabila menjadi filem muzikal paling banyak memenangi anugerah dalam Golden Globe ke-74 baru-baru ini, dengan tujuh kemenangan.

    Aktor veteran berusia 79 itu menjelaskan, insiden berkenaan berlaku secara tidak sengaja apabila beliau diberikan kad kemenangan Aktres Terbaik, (yang dimenangi Emma Stone) sekali gus menyangka La La Land adalah pemenang Filem Terbaik Oscar ke-89.

    Ironinya, selepas penerbit filem La La Land iaitu Fred Berger, Jodan Horowitz dan Marc Platt menerima trofi yang menjadi rebutan tersebut dan hampir mengakhiri ucapan mereka, Beatty baru menyedari kesilapannya.

    “Sejujurnya ia bukan satu lawak jenaka. Saya melihat nama Emma Stone tertera pada kad, jadi saya sangka La La Land adalah pemenangnya. Ia sebenarnya satu kesalahan teknikal daripada pihak Oscar,” ujar Beatty.

    Perkara tersebut telah menimbulkan kekecohan di atas pentas dan ia kelihatan bagai pengulangan insiden pertandingan Miss Universe 2015 apabila kesilapan sama dilakukan oleh hosnya, Steve Harvey.

    Biarpun ada yang berpendapat, insiden tersebut seperti satu konspirasi ciptaan Oscar untuk meraih perhatian, namun peminat dan pemerhati filem tetap berpuas hati apabila La La Land berjaya membawa pulang lima trofi utama iaitu Aktres Terbaik menerusi Emma Stone, Pengarah Terbaik (Damien Chazelle), Skor Muzik Asal Terbaik (Justin Hurwitz), Sinematografi Terbaik (Linus Sandgren) dan Rekaan Set Terbaik oleh David Wasco.

    Penghormatan pertama

    Di sebalik insiden yang menjadi mimpi ngeri dan memalukan seluruh produksi La La Land, hampir semua kemenangan yang diperoleh disifatkan diberi kepada pemenang yang tepat. Nama Emma Stone memang sudah dijangka akan merangkul trofi Aktres Terbaik, manakala Casey Affleck pula sudah diintai sebagai Aktor Terbaik.

    Hadir dengan penuh harapan untuk membawa pulang trofi Aktres Terbaik, Stone yang pertama kali dicalonkan bagi kategori tersebut tidak menduga tuah berpihak kepadanya. “Terima kasih kepada pihak produksi yang banyak memberi peluang kepada saya untuk terlibat dalam filem ini, sekali gus mencatat kejayaan.

    “Terima kasih juga kerana membuka peluang untuk saya mencapai impian (kemenangan),” jelasnya usai menerima trofi Oscar pertamanya. Sama seperti Stone, Affleck yang juga pertama kali membawa pulang trofi Oscar, mendedikasikan kemenangannya kepada produksi filem lakonannya itu, Manchester by the Sea.

    “Kemenangan ini disebabkan usaha keras banyak pihak yang memberi peluang serta mendidik saya untuk menjadi terbaik dan mempercayai akan kebolehan diri sendiri,” tutur Affleck.

    Kemenangan Affleck itu secara tidak langsung telah melenyapkan harapan empat pesaingnya yang tidak kurang hebat iaitu Andrew Garfield (Hacksaw Ridge), Ryan Gosling (La La Land), Viggo Mortensen (Captain Fantastic) dan Denzel Washington (Fences) untuk memiliki gelaran aktor terbaik dalam anugerah berprestij tersebut.

    Ideologi Trump

    Satu hal yang menjadikan Oscar ke-89 ‘mahal’ dan mencipta sejarahnya tersendiri adalah apabila naskhah dari Iran memenangi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.

    Kemenangan filem arahan Asghar Farhadi yang bertajuk The Salesman itu secara tidak langsung menjadi ‘cermin’ bantahan menentang propaganda Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang bersikap rasis terhadap agama Islam apabila menghalang kemasukan rakyat daripada tujuh negara Islam dan salah satunya adalah Iran.

    Oleh kerana itu, Asghar Farhadi enggan menghadiri anugerah tersebut kerana memboikot Trump. “Filem ini diharapkan dapat memberi gambaran tentang kehidupan imigran dari negara Islam yang datang ke AS atau fahaman pengganas seperti yang dinyatakan oleh Presiden AS yang baharu,” kata wakil Asghar Farhadi, Anouahwn Ansari saat menerima anugerah tersebut.

    Kemenangan itu turut mendorong hos anugerah tersebut, Jimmy Kimmel memuat naik status di Twitter miliknya khusus buat Trump dengan harapan Presiden AS ke-45 itu memberi maklum balas terhadap kemenangan filem The Salesman.

    Islam pertama

    Belum cukup dengan pemilihan The Salesman, kemenangan aktor Mahershala Ali turut memperkuat Oscar ke-89 tidak membataskan seni menerusi agama. Hal ini kerana, Mahershala yang membawa watak seorang pengedar dadah bernama Juan dalam filem Moonlight, merupakan seorang Muslim.

    Lelaki berusia 43 tahun itu juga merupakan aktor pertama yang memenangi Oscar sepanjang 89 kali anugerah tersebut diadakan. Dalam temu bual bersama media antarabangsa, Mahershala secara terbuka mengakui, berbangga menjadi pelakon Islam pertama yang memenangi Oscar, sementelah Presiden AS bersikap rasis terhadap masyarakat beragama Islam.

    “Saya berasa bangga menjadi seorang Muslim dan tidak malu untuk mengakui hal itu kepada umum. Dalam pada itu saya juga bersyukur kerana diberi peluang untuk mencatat kemenangan seperti hari ini.

    “Kerjaya sebagai artis juga merupakan ibadah kepada Tuhan dan menjadi sebahagian daripada tugas kami untuk menyampaikan perkara benar berdasarkan pembawakan karakter secara jujur,” jelas Mahershala.

    Tiada batasan

    Selain insiden salah umum, kemenangan The Salesman serta Mahershala, ucapan kemenangan Aktres Pembantu Terbaik, Viola Davis turut menggamit perhatian. Ucapan Davis yang membawa watak sebagai Rose Masson dalam filem Fences mengundang air mata dalam kalangan penonton.

    “Saya bersyukur kepada Tuhan kerana diberikan peluang memiliki kerjaya sebagai seorang pelakon kerana ia dapat memberi lebih makna dalam menghargai kehidupan,” ujarnya. Oscar ke-89 ditutup dengan sebuah catatan kurang molek terhadap insiden salah umum, namun seburuk manapun sesuatu perkara, ia tetap telah berlangsung dengan berjaya dan memberi kemenangan kepada karyawan yang berhak.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Oscar : Mimpi Ngeri La La Land, Kemenangan Moonlight Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top