Guardians arahan Sarik Andreasyan yang akan menemui penonton mulai esok antara filem paling dinantikan tahun ini. Sejak klip promo filem lakonan Sebastien Sisak, Anton Pampuchniy, Sanzhar Madiev, Alina Lanina, Valeria Shkirando dan Stanislav Shirin itu menular di laman sosial, ia hangat diperkatakan seantero dunia.
Menurut Andreasyan penghasilan filem aksi adiwira pertama Rusia itu bukan untuk bersaing dengan mana-mana karya mega Hollywood terbitan Marvel Studios atau seumpamanya. “Kebanyakan filem adiwira diterbitkan di New York manakala kami melakukannya di Moscow. Rasanya belum ada lagi filem adiwira sebesar ini dihasilkan di Rusia dan Asia.
“Penerbitan filem ini bukan untuk bersaing dengan mana-mana filem terbitan Hollywood kerana bajet kami tidak sebesar mereka,” katanya. Tambah sutradara handalan Rusia itu, selain babak aksi mendebarkan, Guardians turut memaparkan keunikan budaya negaranya.
“Meskipun bahasa yang digunakan dalam filem ini berbeza, idea dan naratifnya dapat difahami semua lapisan masyarakat kerana ia berkait rapat dengan kehidupan di sekeliling kita,” katanya.
Dia yang juga peminat tegar filem adiwira mengakui sangat teruja apabila berpeluang mengetuai projek istimewa itu. “Saya peminat setia filem Marvel, komik DC dan semua karya yang dihasilkan Christopher Nolan. Saya suka melihat gaya hidup adiwira yang kuat dan diperhebatkan dengan pelbagai kuasa.
“Saya percaya Guardians akan diterima ramai kerana belum pernah lagi filem sebegini dihasilkan di Rusia. Ia mengambil masa dua tahun untuk disiapkan. Kami teliti dalam semua aspek pembikinan dan kesan khasnya juga memenuhi piawaian,” katanya.
Belum pun ditayangkan, pihak produksi sudah ada perancangan menerbitkan sambungannya malah Andreasyan berharap Guardians menjadi fenomena. “Kami kini dalam proses mengumpul idea baru untuk penghasilkan sekuel. Mungkin penggambarannya dua tahun lagi. “Besar harapan kami sekiranya Guardians menjadi karya francais dan diterima baik pasaran global,” katanya.
Guardians mengisahkan sekumpulan adiwira yang dicipta pada era Perang Dingin. Empat daripadanya anggota Kesatuan Soviet. Setiap mereka ada kuasa berbeza dan mengikut tradisi masyarakat Soviet.
Mereka dicipta menerusi DNA yang diubah suai organisasi Patriot. Antara kuasa yang dimiliki empat adiwira yang dikenali sebagai Khan, Ler, Arsus dan Ksenia ini adalah mengawal dan menggunakan elemen udara, tanah serta air sebagai senjata. Lebih unik salah seorangnya menyerupai beruang dan mempunyai kuasa yang sangat luar biasa.
0 comments:
Post a Comment