Mayat bayi perempuan berusia 18 bulan mangsa ke-10 ditemui pada hari kelima operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di perairan Tinagat, 7 Februari lalu. Jasad Nur Ainun Budiman ditemui nelayan warga Indonesia ketika mengambil hasil pukatnya di Sungai Manurung, Sebatik, Indonesia, 9 pagi, semalam.
Difahamkan, lelaki berusia 45 tahun itu dikatakan memasang pukatnya sejak tiga hari lalu dan mahu mengambil hasilnya pagi semalam namun air masih pasang ketika itu. Nelayan terbabit menunggu sehingga air surut dan terlihat kaki sebelum dikenal pasti ia adalah mayat.
Sejurus selepas kejadian, perkara itu segera di laporkan kepada pihak berkuasa Indonesia untuk tindakan selanjutnya. Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, penemuan mayat itu disahkan oleh Konsulat Republik Indonesia, 11.36 pagi, semalam.
“Mayat ditemui oleh seorang nelayan dan dibawa ke Nunukan oleh pihak berkuasa Indonesia untuk tindakan selanjutnya. Pengecaman mayat dilakukan menerusi gambar yang ditunjukkan kepada mangsa yang selamat iaitu pasangan suami isteri Budiman Muslimin, 26 dan Hasmida Masaniaga, 24,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Fadil berkata, kedua-dua mangsa mengesahkan bahawa mayat terbabit adalah anak perempuan mereka berdasarkan pakaian terakhir dipakainya. Sementara itu dalam perkembangan lain, Fadil mengesahkan bahawa juragan dikenali sebagai Juma yang terbabit dalam kejadian bot karam itu sudah ditahan polis di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Tawau, 10.30 pagi semalam.
“Juma berusia 23 tahun ditahan di pekarangan pintu ketibaan lapangan terbabit dan dia dipercayai baru tiba dari Kuala Lumpur Suspek direman untuk siasatan selepas disyaki terbabit dalam kes mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian akibat cuai,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian itu, bot yang dinaiki 15 individu termasuk Juma yang dalam perjalanan dari Batu Payung ke Sungai Nyamuk, Indonesia karam dipukul ombak sehingga menyebabkan 10 meninggal dunia, empat terselamat dan seorang lagi yang dikatakan hilang sebelum ini, selamat dan kini berada di Sungai Nyamuk Indonesia.
0 comments:
Post a Comment