My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 20 February 2017

    Kemenangan BN Di Tanjong Datu, Amaran Buat Pembangkang



    Sabtu lalu, Datuk Amar Hajah Jamilah Anu berjaya memenangi kerusi N03 Tanjong Datu dengan cukup bergaya. Beliau memperoleh undi majori sebanyak 6,443 undi dengan jauh meninggalkan dua orang pencabar beliau dari PBDSB, Rapelson Richard Hamit yag hanya memperolehi 130 undi dan calon Parti Reformasi Sarawak (STAR), Johnny Anak Aput dengan 108 undi.

    Melihat kepada kemenangan besar Datuk Amar Hajah Jamilah ini, ianya menampakkan beliau sememangnya pilihan utama pengundi di DUN ini disebalik pelbagai dakwaan yang mengatakan beliau hanyalah calon "bidan terjun" kerajaan negeri bagi menggantikan suaminya, Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem.

    Kemenangan ini juga menampakkan, Barisan Nasional masih kekal relevan pada mata rakyat berbanding pelbagai janji kosong yang ditaburkan oleh pakatan pembangkang. Mari kita soroti lima Pilihan Raya Negeri dan Kecil sebelum ini. Jika dilihat kepada trend kemenangan, kelima-lima Pilihan Raya berkenaan jelas milik Barisan Nasional walaupun pada ketika itu, pelbagai fitnah telah dilemparkan kepada kerajaan.

    Pilihan Raya Kecil Parlimen Rompin pada 2015 memperlihatkan bagaimana jentera UMNO dan Barisan Nasional kekal gagah mengharungi pelbagai fitnah yang begitu hangat disebarkan oleh pembangkang sehingga ianya menjangkiti sebilangan pemimpin sayap Pemuda UMNO pada ketika itu.

    Ditentang oleh calon dari PAS, jentera UMNO dan Barisan Nasional kekal istiqomah dan meneruskan perjuangan bagi memastikan Datuk Hasan Ariffin memenangi kerusi yang sememangnya menjadi antara kubu kuat BN dan UMNO sebelum ini.

    Tahun 2016 menyaksikan 3 Pilihan raya diadakan iaitu Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ke 11, Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar setelah penyandang bagi kedua-dua kerusi Parlimen ini meninggal dunia akibat kemalangan helikopter di Kampung Triso, Sebuyau, Sarawak.

    Bagi PRN Sarawak ke 11, antara cabaran utama yang dihadapi oleh Barisan Nasional negeri adalah detik kebangkitan gerakan Sarawak for Sarawakians yang dipelopori oleh pemimpin pembangkang di Sarawak (walaupun tidak keliahatan secara jelas). Namun, dengan reputasi baik yang ditunjukkan oleh Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem, BN berjaya memenangi 72 daripada 81 kerusi yang dipertandingkan.

    Cabaran besar bermula apabila Budiman Mohd Zohdi dan Datin Mastura Yazid dinamakan calon UMNO dan Barisan Nasional untuk kedua-dua kerusi berkenaan. Pada ketika ini, serangan pelbagai penjuru daripada pembangkang dan Tun Dr Mahathir Mohamad sedang berada di kemuncak dan Mahathir sendri bertindak turun berkempen di kedua-dua kerusi Parlimen berkenaan.

    Hasilnya, kedua-dua calon UMNO dan Barisan Nasional berkenaan berjaya mempertahankan kerusi ini. Bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusi, malah, majoriti yang diterima mereka jauh lebih tinggi berbanding bekas penyandang kerusi berkenaan.

    Berbalik kepada Pilihan Raya Kecil N03 Tanjong Datu, undi majoriti yang diperolehi oleh Datuk Amar Hajah Jamilah Anu nyata lebih tinggi daripada apa yang diterima oleh Allahyarham suaminya pada PRN Sarawak ke 11 yang lalu. Malah, mereka yang sebelum ini mengundi untuk calon PKR semasa PRN Sarawak tahun lalu juga sudah mula mengundi untuk calon BN di kerusi ini.

    Melihat kepada keputusan kelima-lima Pilihan Raya berkenaan, dapatlah disimpulkan bahawa, UMNO dan Barisan Nasional semakin berjaya memperkukuhkan semula kedudukan parti. Walapun UMNO dan Barisan Nasional bertanding disaat begitu banyak fitnah berkeliaran, namun, kesungguhan pemimpin dan jentera parti, masih mampu menterjemahkan kemenangan besar buat parti.

    Ini sekaligus menolak andaian awal dari pembangkang dan Mahathir sendiri yang mendakwa, UMNO dan Barisan Nasional sudah menuju ke zaman kehancurannya. Jika UMNO dan Barisan Nasional semakin tenggelam, mana mungkin 5 pilihan raya terakhir masih mampu di menangi dengan penuh bergaya? Fikir-fikirkanlah sejenak...
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kemenangan BN Di Tanjong Datu, Amaran Buat Pembangkang Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top