Seorang penumpang lelaki tidak dibenarkan menaiki pesawat sebaik menyebut perkataan bom semasa membuat pemeriksaan keselamatan bagasi di Kaunter 12 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata dalam kejadian jam 7.35 pagi itu, suspek berumur 40 tahun dalam perjalanan menaiki pesawat untuk balik ke Brunei bersama kakaknya.
“Semasa berada di kaunter pemeriksaan bagasi, pengadu yang bertugas sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan syarikat penerbangan itu bertanya jika terdapat barangan berbahaya di dalam bagasi suspek.
“Suspek kemudiannya menyebut perkataan ‘bom’ kepada pengadu sebelum menasihatkan suspek agar tidak menyebut perkataan seperti itu semasa diperiksa dan suspek sudah meminta maaf kepada pengadu,” katanya.
Chandra berkata perbualan antara suspek dan pengadu kemudiannya didengari oleh rakan pengadu sebelum menasihatkan pengadu untuk melaporkan kejadian kepada pihak polis.
Katanya pengadu turut dinasihatkan untuk mengeluarkan nama suspek sebagai penumpang dan tidak dibenarkan menaiki pesawat. “Polis kemudiannya merampas bagasi suspek dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada barangan yang menyalahi undang-undang dan suspek ditahan dan dibawa ke Lokap Berpusat Kontinjen Sabah untuk disiasat.
“Siasatan lanjut mendapati suspek dikenal pasti sebagai warganegara Sarawak dan menetap di Brunei sejak empat tahun lalu.
“Selepas melakukan lawatan di Sabah suspek akan menaiki pesawat untuk balik ke Brunei bersama kakaknya bagaimanapun ditahan di LTAKK disebabkan menyebut perkataan ‘bom’ yang tidak sepatutnya disebut ketika berada di lapangan terbang,” katanya. Menurutnya kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana terbabit kes ugutan jenayah di LTAKK.
0 comments:
Post a Comment