Cubaan empat lelaki meloloskan diri dalam aksi kejar-mengejar dengan anggota polis gagal apabila berjaya ditangkap bersama lima laras senapang jenis raifal dan pistol tiruan, semalam.
Ketua Polis Daerah DSP Aswandy Anis berkata, keempat-empat suspek yang menaiki sebuah kereta diarah untuk berhenti semasa ditemui dalam keadaan mencurigakan berhampiran Kampung Tebekang Melayu sekitar jam 3 pagi.

“Suspek kemudian mengundurkan keretanya secara melulu malah hampir melanggar kenderaan polis memaksa anggota kita melepaskan satu das tembakan ke udara sebagai amaran.
“Kesemua suspek kemudian berjaya ditahan dan pemeriksaan di dalam kereta tersebut berjaya menemui lima laras senapang jenis raifal dan sepucuk pistol tiruan bersama kelopak peluru jenis besi dan plastik,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Aswandy berkata, polis turut menyita kenderaan yang digunakan serta merampas baju kalis peluru, kain berwarna celoreng hijau, bungkusan mengandungi peluru serta beberapa unit telefon bimbit.
“Pemeriksaan lanjut turut menemui satu peket plastik lut sinar serta tiub straw disyaki mengandungi dadah jenis syabu dan kesemua suspek juga didapati positif dadah selepas ujian saringan awal dijalankan,” katanya.

Difahamkan, tiga daripada suspek merupakan penganggur dan seorang daripada mereka juga memiliki rekod jenayah lampau.
“Motif suspek memiliki senjata ini serta dari mana mereka memperolehinya masih dalam siasatan dan kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat menyalurkan kepada kita. “Selain itu, raifal dan pistol ini juga akan dihantar untuk ujian balistik,” jelas Aswandy.
0 comments:
Post a Comment