Filem pertama arahan Fauzi Nawawi ini mempunyai keunikan tersendiri. Pertama, ia mempunyai elemen fantasi, pertarungan, legenda, drama dan komedi yang diselang-seli secara sistematik. Kedua, kameo 24 artis popular tanah air yang mengisi setiap babak penceritaan dengan cara tersendiri tanpa mencacatkan jalan cerita.
Ketiga, elemen kesan khas imej janaan komputer (CGI) boleh dianggap terbaik setakat ini. Walaupun akan ada penonton mempertikaikan gaya filem Pak Pong persis filem Magika kerana gabungan semua elemen termasuk penampilan istimewa barisan pelakon tempatan, ia masih mempunyai sifat tersendiri.

Paling menarik pastinya pada babak komedi yang diselit secara bersahaja dalam drama Muda dan Kadek mencari kitab Pak Pong. Antaranya, tatkala Muda dan Kadek bertemu dengan Puteri Bidadari (Amber Chia), Hantu Kopek, Hantu Cina (Acong Sweetchild) dan Sang Kelembai (Jasmin Hamid).
Ia bersambung pula tatkala mereka bertemu dengan Tok Bintara (Saiful Apek), bomoh buta dan bisu yang memberi Kitab Pak Pong untuk kegunaan mereka. Kewujudan dua jin, Hitam (Joey) dan Putih (Awon Ceplos) menambah lagi perisa gelak ketawa kalangan penonton.

Tidak dinafikan, akan ada yang memandang filem ini terlalu bercita-cita tinggi cuba menjadi setaraf filem animasi hebat Hollywood, tapi percayalah, jika anda buang jauh sikap prejudis terhadap filem ini, anda pasti akan terhibur!
INFO
• FILEM: Pak Pong
• ARAHAN: Fauzi Nawawi
• PELAKON: Hairul Azreen, Siti Saleha, Badrul, Datuk Eizlan Yusof, Marsha Milan Londoh, Kaza, Rahim Sepahtu, Syawal AF, Lisdawati, Joey, Amber Chia, Saiful Apek, Fauzi Nawawi, Jasmin Hamid, Acong Sweetchild
• GENRE: Fantasi drama komedi
• TAYANGAN: 23 Februari 2017
0 comments:
Post a Comment