Membuka tirai malam gemilang Grammy Awards ke-59 menerusi lagu antem berjudul Hello yang merupakan single sulung daripada album ketiganya, 25, Adele membuktikan sentuhan magis dalam penulisan lagu dan listrik vokalnya tetap diperakui dunia apabila merangkul lima trofi daripada lima pencalonan.
Berlangsung di Staples Center, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), pemilik nama sebenar Adele Laurie Blue Adkins itu menang lima kategori yang dicalonkan menerusi karya agungnya, 25. Lima anugerah tersebut adalah Album Terbaik, Rakaman Terbaik, Lagu Terbaik, Album Vokal Pop Terbaik dan Persembahan Pop Solo Terbaik.
Dikendalikan oleh pengacara popular kelahiran United Kingdom, James Corden, Grammy Awards ke-59 berlangsung cukup meriah dengan menyaksikan Adele tetap merendah diri walau menyapu bersih pencalonan yang melibatkan dirinya.
Rendah diri
Walaupun mendominasi anugerah berprestij tersebut, pelantun lagu Someone Like You itu amat membumi apabila meluahkan pujian melangit terhadap idolanya Beyonce dalam ucapannya. Terkejut dengan kemenangan, Adele seperti tidak dapat menerima kenyataan bahawa Beyonce tewas di tangannya.
“Mimpi dan idola saya ialah Queen Bey (panggilan untuk Beyonce). Saya sangat menyanjungi Beyonce. Anda telah membuatkan jiwa saya hidup setiap hari sejak hampir 17 tahun lalu. Saya mengagumi anda dan saya mahu anda menjadi ‘ibu’ saya.
“Saya mungkin tidak mampu menerima anugerah ini. Album Lemonade adalah sebuah karya yang sangat monumental (meninggalkan kesan sejarah agung). Ia sebuah karya yang amat indah dan sangat menyentuh perasaan. Artis-artis lain menyanjungi anda. Anda seperti cahaya,” ujar Adele teresak-esak saat menyampaikan ucapan apabila dinobatkan sebagai pemenang Album Terbaik.
Selain menggondol lima trofi utama, kejayaan terbesar Adele pada malam berkenaan barangkali keupayaannya membuatkan penyanyi hebat seperti Beyonce turut menitiskan air mata menerusi ucapannya.
“Saya sempat bercakap dan menyatakan kepadanya betapa bangga dan bertuahnya saya kerana dapat dicalonkan bersamanya. Dia sangat merendah diri. Lemonande adalah album terbaik bagi saya. Beyonce ialah ikon hidup saya.
“Saya berusia 11 tahun ketika lagu No No No dendangan Destiny’s Child menjadi popular. Apabila mendengar Lemonade, ia seperti saya mendengar lagu No No No pada 1998. Anda tidak suka Beyonce, anda tidak boleh berada dalam hidup saya,” kata Adele usai berlangsungnya Grammy Awards dalam satu sidang akhbar.
Tidak pulang tangan kosong, Beyonce yang menerima pencalonan terbanyak iaitu sembilan kategori turut merangkul dua anugerah iaitu Album Kontemporari Urban Terbaik dan Muzik Video Terbaik (Formation).
Isteri kepada rapper ternama Jay Z itu turut membuat ramai terkesima menerusi persembahan pentas ikonik dengan dendangan dua lagu yang dipetik daripada album Lemonade berjudul Love Drought dan Sandcastles. Menariknya, dengan imej berbadan dua setelah disahkan hamil bayi kembar dengan perut yang semakin membesar.
Beyonce tetap Beyonce! Dalam keadaan sebegitu, dia masih menghadirkan magis di atas pentas dengan koreografi dan grafik luar biasa sehingga mendapat standing ovation (tepukan berdiri) daripada penonton.
Dalam pada itu, mendiang David Bowie menerusi album terakhirnya, Blackstar turut diumumkan sebagai pemenang lima kategori iaitu Pakej Rakaman Terbaik, Album Muzik Alternatif Terbaik, Persembahan Rock Terbaik, Lagu Rock Terbaik dan Album Bukan Klasik - Engineered Terbaik.
Persembahan
Selain daripada menjadi saksi ‘hadiah’ hasil kerja keras penyanyi dan pemuzik antarabangsa, apa yang menjadi perhatian pada Grammy Awards kali ini adalah persembahan daripada penyanyi-penyanyi ternama dunia.
Grammy Awards bagaimanapun tidak terlepas daripada kesilapan teknikal yang tidak mampu dielakkan. Profesionalisme penyanyi yang terlibat ditagih untuk menjulang prestij acara tersebut sebagai antara yang terulung di dunia.
Adele ketika mendendangkan lagu penghormatan buat George Michael berjudul Fastlove menyedari kesalahan berpunca daripada dirinya dan memohon maaf kepada orang ramai.
“Minta maaf. Saya tidak boleh membuat persembahan seperti tahun lalu. Saya mohon maaf kerana menyumpah. Saya tidak boleh merosakkan persembahan ini,” ujarnya yang meminta pemuzik memulakan lagunya semula dari awal.
Sementara itu, penyanyi yang baru sahaja mencipta fenomena tersendiri pada persembahan separuh masa Super Bowl ke-51 minggu lalu, Lady Gaga berdepan masalah kegagalan fungsi mikrofon yang menimpa artis duetnya, kumpulan Metallica.
Gaga tetap menunjukkan profesionalisme yang tinggi apabila berkongsi mikrofon dengan vokalis band metal tersebut, James Hetfield. Mendapat tepukan gemuruh, persembahan tersebut tetap berjalan lancar dan berjaya dihabiskan dengan sempurna.
Bruno Mars menghadirkan persembahan kelas A menerusi single terbaharu berjudul That’s What I Like daripada album terbaharu, 24K Magic. Bukan itu sahaja, penyanyi itu bergandingan dengan band The Time untuk persembahan penghormatan buat mendiang Prince yang mendapat standing ovation daripada penonton.
0 comments:
Post a Comment