Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) kecewa dengan tindakan ganas segelintir individu yang memburukkan negeri dan FAP apabila mereka mencetuskan rusuhan dan merosakkan kemudahan selepas Pulau Pinang tewas 0-1 di tangan Sarawak di Stadium Negeri, Batu Kawan kelmarin.
Presiden FAP Zairil Khir Johari berkata, mereka bertindak membakar api suar walaupun sedar tindakan itu satu kesalahan yang cukup besar dalam mana-mana perlawanan bola sepak di Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan kejadian itu tidak berulang dan pihaknya turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas, khususnya polis yang berjaya mengawal keadaan.
“Kami sedar peminat bola sepak Pulau Pinang yang sejati adalah mereka yang benar-benar sayang kepada pasukan walau apapun terjadi dan mereka tidak akan bertindak ganas atau melakukan perbuatan yang akan memudaratkan orang awam.
“Kepada peminat Pulau Pinang yang setia sekalung perhargaan dan terima kasih FAP ucapkan dan terus memberi sokongan dalam usaha FAP meningkatkan tahap pasukan negeri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Zairul berkata, pihaknya turut menyelar tindakan segelintir golongan atau penyokong yang mahu memburukan nama baik Pulau Pinang dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam apa juga keadaan sekalipun.
“Kami tidak akan membiarkan perbuatan ganas beberapa individu ini akan merosakkan nama baik Pulau Pinang dan demi rakyat dan negeri yang tercinta, FAP akan terus berusaha untuk mencapai keputusan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
0 comments:
Post a Comment