My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 28 February 2017

    Sekolah SK Long Sobeng Tenggelam

     Beginilah keadaan banjir di SK Long Sobeng, Hulu Tinjar.

    Seramai 29 murid asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sobeng, Hulu Tinjar bersama 13 guru dan enam kakitangan sekolah (bukan guru) dipindahkan ke rumah panjang Long Sobeng kelmarin. Ini berikutan paras air mendadak naik sehingga mencecah bumbung sekolah tersebut pada pagi semalam.

    Pengurusan sekolah memberitahu, mereka terpaksa memindahkan semua murid dan kakitangan sekolah termasuk guru ke rumah panjang terletak di kawasan lebih tinggi demi keselamatan memandangkan paras air semakin naik.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau mengakui banjir melanda kawasan Telang Usan awal tahun ini adalah antara terburuk dan pada masa ini dianggarkan lebih 10,000 orang penduduk terjejas akibat banjir.

    Ia menenggelamkan sebahagian besar rumah panjang mereka yang kebanyakannya di kawasan rendah dan pinggir Sungai Baram serta Tinjar. “Selain masalah banjir semakin buruk melanda kawasan Telang Usan awal tahun ini, aspek keselamatan murid dan guru menjadi taruhan apabila berdepan situasi sukar dan berbahaya,” katanya di sini semalam.

    Selain banjir menenggelamkan bangunan sekolah sehingga mencecah bumbung, jambatan kayu menghubungkan rumah panjang dengan SK Long Kevok di Apoh turut runtuh dan dihanyutkan arus deras menyebabkan murid dan guru tidak dapat turun ke sekolah.

    “Terdapat dua jambatan di Long Kevok dan saya sudah menyuarakan bahawa penduduk memerlukan jambatan besi kukuh dan jambatan gantung lebih bagus di SK Long Luteng bagi memudahkan rakyat khususnya anak-anak ke sekolah.

    “Sehubungan itu, saya minta Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg campur tangan dan terlibat dalam usaha membantu rakyat di Telang Usan,” katanya.

    Antara kampung dilanda banjir berdasarkan laporan ketua kaum masing-masing ialah Long Bedian, Long Atip, Long Tujang, Long Buang, Long Bemang, Long Loyang, Long Batan, Long Aton, Long Sobeng, Long Anyat, Long Luteng, Long Puak dan Long Lama.

    Dennis yang melawat sekitar kawasan di Telang Usan semalam berkata perjalanan beliau agak lambat kerana kebanyakan jalan menghubungkan rumah panjang ditenggelami air menyebabkan pihaknya terpaksa bergantung kepada bot-bot sahaja.

    Pasukan pemantau diketuai beliau sendiri turut melibatkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan tentera membawa bekalan makanan ke kampung-kampung di Long Wat dan sekitar Apoh serta di Long Anyat, Patah.

    Dennis memberitahu, beliau sentiasa berhubung dengan Bilik Operasi Banjir di Pejabat Daerah Telang Usan, Long Lama bagi menerima laporan dari semasa ke semasa daripada ketua-ketua kaum. 

    Sambil menyeru pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan keselamatan dan sentiasa bersiap sedia, Dennis turut mengingatkan penduduk berwaspada terutama paras air semakin naik dengan arus deras.

    “Dengan keadaan hujan masih turun lebat di seluruh Telang Usan kita menjangkakan situasi kali ini menjadi lebih teruk tetapi kita berdoa agar dihindarkan daripada bencana dan perkara tidak diingini berlaku,” jelasnya.

    Sehingga kini, belum ada pusat pemindahan banjir dibuka bagi kawasan Telang Usan kerana penduduk kampung memilih tinggal di bahagian atas atau tingkat atas bangunan rumah panjang mereka yang majoriti dibina dua tingkat. Mengenai bantuan makanan oleh kerajaan, beliau berkata ia hanya untuk mangsa banjir yang tinggal di rumah panjang.

    “Walaupun rumah kamu dilanda banjir tetapi jika kamu tidak berada di rumah tersebut maka kamu tidak dapat membuat tuntutan kerosakan harta benda atau makanan kerana keutamaan diberikan kepada penduduk tinggal di rumah panjang atau kampung sahaja.

    “Kita harus maklum bantuan bukan hanya untuk orang di bandar dan dengan ini saya memohon maaf kepada mereka kerana bantuan makanan ini untuk golongan benar-benar memerlukan dan mereka memerlukan pertolongan kerana ditimpa bencana,” tambah beliau mengulas tuntutan bantuan makanan oleh penghuni rumah panjang yang berada di bandar.

    Dennis turut menasihati penduduk terjejas serta musnah tanaman dan huma mereka akibat banjir boleh membuat laporan segera kepada ketua kaum supaya membuat laporan kepada Pegawai Daerah di Pejabat Daerah Telang Usan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sekolah SK Long Sobeng Tenggelam Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top