Kumpulan lawak popular Zero tampil dengan permohonan maaf secara terbuka menerusi Instagram, hari ini berikutan isu mengenakan pakaian tradisi wanita Iban pada persembahan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017, hingga menimbulkan kemarahan segelintir penduduk Sarawak minggu lalu.
Dalam video berdurasi 52 saat itu, Zero yang dianggotai tiga beradik iaitu Sharif, Atu dan Syaiful berkata, mereka tidak berniat langsung untuk mengguris hati mana-mana pihak. Sharif berkata, tujuan mereka tampil sedemikian bukan untuk mempersendakan pakaian etnik kaum Iban itu.
“Kami tiada niat apa-apa, apatah lagi untuk mempermainkan budaya kaum Iban. Kami amat berharap dapat dimaafkan. Insya-Allah, perkara seumpama ini tidak akan berulang lagi,” katanya.
Atu berkata, selepas ini mereka akan lebih peka selain berhati-hati dengan setiap kandungan persembahan. “Kami akan jadikan ini sebagai pengajaran dan diharap untuk persembahan minggu-minggu akan datang tidak akan berlaku lagi perkara yang sama,” katanya.
Minggu lalu, kumpulan Zero mendapat kecaman penduduk Sarawak apabila dikatakan mempersenda pakaian tradisi kaum Iban. Malah, ada yang turut menggesa penyertaan kumpulan itu dalam MLM2017 ditarik balik.
0 comments:
Post a Comment