Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menangkap beratus-ratus pendatang tanpa izin (PATI) dalam serbuan besar-besaran kali pertama di bawah Presiden Donald Trump pada minggu lalu sekali gus mencetuskan suasana panik dalam kalangan komuniti imigran di seluruh AS.
Agensi Penguatkuasaan Kastam dan Imigresen (ICE) menahan individu-individu tanpa dokumen pengenalan diri yang sah di Atlanta, Austin, Chicago, Los Angeles, New York dan bandar-bandar lain, dua minggu selepas Trump menandatangani perintah eksekutif bertujuan untuk mengusir PATI. ICE bagaimanapun menganggap operasi berskala besar itu sebagai rutin.
“Tumpuan operasi ini tiada beza daripada rutin biasa seperti yang dilakukan oleh Pasukan ICE pada setiap hari,” kata jurucakap agensi itu, Jennifer Elzea.
Ketua operasi ICE di Los Angeles, David Marin pula berkata, kira-kira 160 PATI telah ditangkap di kota raya negeri California itu. “Sekitar 75 peratus daripada mereka pernah disabitkan dengan kesalahan kecil,” ujar Marin sambil menambah, sebahagiannya ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Seramai 37 imigran tanpa dokumen sah juga telah diusir ke Mexico setakat malam Jumaat lepas. Menerusi perintah eksekutif yang ditandatangani pada 25 Januari lepas, Trump memberi keutamaan untuk mengusir PATI lelaki yang disabitkan atau didakwa atas kesalahan jenayah termasuk jenayah kecil.
Operasi itu turut diadakan di Austin, Texas yang menempatkan 100,000 PATI. Seorang individu merakam tangkapan itu, manakala klip videonya menjadi tajuk muka depan akhbar dan mencetuskan demonstrasi.
Wakil rakyat Parti Demokrat di Texas, Joaquin Castro mengesahkan operasi itu yang menyasarkan golongan PATI. Kali terakhir ICE mengadakan operasi pembersihan ialah pada Mac 2015 melibatkan tangkapan 2,059 pendatang tanpa izin yang dianggap berbahaya kepada keselamatan orang ramai.
0 comments:
Post a Comment