Zaman digital menghasilkan maklumat terpampang di hujung jari termasuklah aktiviti membaca berita namun dengan lambakan informasi yang berlegar di Internet mengakibatkan banyak berita palsu disebarkan.
Lebih memburukkan keadaan, sikap pengguna Internet yang gatal tangan pantas berkongsi berita terbabit meskipun sumbernya masih belum disahkan atau diragui ternyata membimbangkan.
Sama ada mahu menjadi wartawan tidak bertauliah di Internet atau jenis yang sentiasa mahu menjadi orang pertama menyebarkan berita menyebabkan penyebaran berita palsu berleluasa sehingga menenggelamkan berita sebenar.
Ditambah dengan platform sosial yang berada di atas Internet seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan Twitter membolehkan capaian berita menjadi lebih pantas mengakibatkan maklumat terlalu mudah dikongsi hanya pada sekali tekan butangnya. Namun mengecewakan apabila keadaan terbabit juga menyebabkan kerja penguat kuasa bertambah.
Misalnya, kes penculikan kanak-kanak mengaitkannya dengan van putih menyebabkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa menyiasat kebenaran berita terbabit dan meminta orang ramai memaklumkan mereka jika mengetahui maklumat berkaitan.
Masih ingat penyebaran maklumat kononnya meminta golongan wanita berhati-hati ketika keluar rumah kerana dikhuatiri menjadi mangsa culik dan dibunuh oleh sindiket penjualan organ. Berita palsu yang tersebar meluas itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan tindakan itu secara tidak langsung boleh membangkitkan kegusaran masyarakat tanpa sebab.
Menyusahkan banyak pihak boleh mengakibatkan kes sebenar yang sepatutnya dikendalikan pihak berkuasa terganggu. Ada pula pihak mengambil kesempatan menjadi portal berita dengan mensensasikan berita yang langsung tiada kebenarannya semata-mata memaksimumkan pelawat dan pendapatan iklan di laman yang dicipta.
Masyarakat di negara ini dilihat kurang peka bahaya berita palsu dalam kehidupan seharian dan seronok berkongsi tanpa usul periksa. Salah satu puncanya jelas apabila minda masyarakat yang semakin cetek ilmu dan sudah tidak mengamalkan budaya membaca bahan yang bukan bertuhankan Internet.
Internet seharusnya menjadi lubuk ilmu namun ilmu itu datang daripada pemahaman dan akal fikiran yang didorong minda cerdas serta boleh memisahkan logik atau tidak dengan kekuatan kandungan dalam otak manusia itu sendiri.
Sekali gus, Internet bukan platform mencapai maklumat di hujung jari tetapi menyebabkan penggunanya menjadi narsisistik, terlalu leka dengan apa saja yang disuap serta cepat terpedaya dengan berita ringkas dan sensasi.
Kebimbangan terbabit melanda dunia dan ia disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook dalam temu bualnya bersama The Daily Telegraph, baru-baru ini. “Kerajaan perlu melancarkan kempen kesedaran untuk mengatasi masalah penyebaran berita palsu yang membunuh minda manusia,” katanya.
Beliau berkata, ia masalah besar di dunia sekarang dan syarikat berkaitan teknologi perlu mengatasinya secara kolektif. “Kita perlukan kempen yang mengubah dan mendidik pengguna mengenai bahaya berita online palsu,” katanya.
Di Malaysia, kempen hampir sama kini giat dijalankan agensi keselamatan siber, Cybersecurity Malaysia (CSM) dengan hashtag seperti #myviralvow bertujuan menyedarkan pengguna mengenai kepentingan bertanggungjawab apabila berkongsi sesuatu di Internet.
Terdapat satu laman web, Snopes yang membolehkan pengguna menyemak kesahihan berita dan memaklumkan sumber berita terbabit berdasarkan kata kunci dan capaian pautan berkaitan namun ia kurang tepat untuk dipraktikkan di Malaysia. Meskipun kurang tepat, ia masih boleh diguna pakai ketika menyemak berita yang ada kaitan dengan negara luar.
Jika anda membuka berita tertentu, tanya soalan kepada diri sendiri seperti yang kami cadangkan di bawah:
1. Adakah berita terbabit mengandungi sumber?
2. Adakah sumber terbabit sangat jelas dan kuat?
3. Adakah maklumat sumber terbabit sama dengan artikel yang ditulis?
4. Adakah pautan itu agensi berita atau portal yang jelas kredibilitinya?
5. Adakah berita atau maklumat terbabit diakhiri dengan ayat, ‘sila share, sumber dari sekian sekian’? Jika ya, besar kemungkinan ia palsu.
6. Adakah sumber berita terbabit datang daripada ‘group sebelah’?
7. Sumber berita datang daripada ‘page’ Facebook yang diragui ‘adminnya’.
8. Jika berita membabitkan angka, adakah jumlahnya logik? Jadi sekarang apa yang boleh dilakukan jika anda terjumpa pautan berita palsu?
Facebook sekarang misalnya mempunyai tanda amaran dengan memaklumkan pengguna mengenai label sesebuah berita dan ia dikeluarkan dalam bentuk ayat, ‘This story appears likely to be false. Are you sure you want to share it?’
Google pula akan menyemak status berita dan jika ia palsu boleh menyebabkan ‘ranking’ pautan terbabit berada jauh di belakang. Namun paling penting, masyarakat masa kini perlu mengelak daripada mudah menyebarkan berita yang kesahihannya amat diragui.
Impak negatif penyebaran maklumat dan berita palsu secara pantas dan meluas boleh mengganggu ketenteraman awam dan mengakibatkan kerugian kepada negara. Semak sumber ketika membaca sesebuah berita di Internet itu penting dan rajin membaca juga berupaya mengelakkan kekaburan terhadap sesuatu maklumat.
0 comments:
Post a Comment