SAMBIL tangan kanan memegang penyepit besi, anak mata Leow Lee Li, 32, liar memerhatikan bekas plastik berisi batu perhiasan pelbagai bentuk dan warna yang terletak berhampirannya. Secara perlahan-lahan, dia meletakkan satu persatu perhiasan yang dipilih itu ke dalam balang kaca agar tidak merosakkan landskap mini yang sedang dibinanya.
“Membuat terarium tidak semudah yang disangka. Walaupun kelihatan agak mudah, tetapi kerja-kerja menyusun setiap perhiasan memerlukan ketelitian yang sangat tinggi.
“Malah, ia juga menuntut kesabaran kerana segala yang dilakukan untuk menghasilkan sebuah terarium yang unik dan indah mengambil masa agak panjang,” katanya yang membina terarium di dalam balang tertutup berkonsepkan taman.
Kebebasan
Pengurus sebuah bank di Kuala Lumpur itu ditemui Horizon ketika bersama kekasihnya, Quah Wui Seng, 32, menghadiri bengkel membuat terarium di Aquacult Studio, Perdana The Place, Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Menurut Lee Li, aktiviti membina terarium sangat menyeronokkan kerana ia memberi kebebasan kepadanya untuk mencipta landskap mini di dalam sebuah balang kaca mengikut kreativitinya sendiri. Bagi Wui Seng yang bertugas sebagai konsultan di London, England, dia menganggap terarium bukan sekadar seni hiasan landskap berskala mini tetapi lebih daripada itu.
“Bagi saya, ia bukan sekadar hiasan, ia memberikan kita pemahaman, menghargai dan menjaga hidupan di dalam sebuah balang terutama pokok dan lumut yang kita tanam sendiri. Malah, ia boleh memberi ketenangan sekiranya kita membelainya setiap hari dengan cara meletakkannya di atas meja di pejabat atau rumah,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai bengkel membina terarium, Pengurus Operasi Aquacult Studio, Ivan Hoh Mun Onn, 31, memberitahu, ia mula dibuka kepada orang ramai sejak lebih setahun lalu. Menurutnya, terarium merupakan replika ekosistem atau habitat semula jadi yang dibina menggunakan tumbuh-tumbuhan hidup, batu perhiasan dan miniatur.
Ia akan membentuk sebuah landskap mini di dalam bekas kaca sama ada balang bertutup atau terbuka. “Terarium mungkin satu aktiviti yang baharu kepada masyarakat di negara ini, tetapi ia sebenarnya sangat popular di luar negara terutama di Eropah.
“Ini kerana tidak semua orang sukakan hiasan atau landskap menggunakan objek hidup di dalam bekas kaca yang berisi air seperti akuarium yang biasa kita lihat. Walaupun terarium menggunakan bekas kaca seperti akuarium, tetapi ia tidak menggunakan air yang banyak. Landskapnya juga lebih cantik dan unik kerana ia turut menggabungkan miniatur yang pelbagai bentuk dan warna,” katanya.
Dua jenis
Jelas Ivan, terarium terbahagi kepada dua jenis iaitu menggunakan bekas kaca terbuka atau tertutup. Namun, kedua-duanya menggunakan pokok hiasan hidup sama ada berdaun atau lumut yang ditanam di atas tanah khas. Katanya lagi, selain terarium, dia turut terlibat dalam memberi khidmat nasihat dan konsultan bagi projek membina vivarium dan paludarium.
Vivarium merupakan ekosistem yang dibina di dalam bekas kaca besar, terdiri daripada separuh air dan separuh tanah, manakala paludarium pula adalah ekosistem ciptaan manusia yang terdiri daripada 70 peratus pokok hidup dan 30 peratus air.
Paludarium biasanya dibina pada skala besar dan menggunakan sistem yang lebih kompleks termasuk hujan buatan, kabus dan sensor kawalan suhu bagi mengekalkan iklim yang sesuai dengan ekosistem yang dibina di dalamnya. Namun jelas Ivan, pihaknya hanya menyediakan bengkel membina terarium kerana ia lebih ringkas dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia.
Vivarium dan paludarium pula, ujarnya, merupakan sistem ekosistem yang lebih kompleks dan hanya boleh dilakukan oleh mereka yang mahir. Menghurai lanjut mengenai bengkel terarium, beliau memberitahu, terdapat lima pakej yang disediakan untuk dipilih oleh para pelanggannya.
Pakej pertama merupakan aktiviti membina terarium menggunakan bekas kaca terbuka bersaiz kecil dengan bayaran RM40 setiap seorang, manakala pakej kedua adalah membina terarium menggunakan bekas kaca tertutup bersaiz kecil (RM55 seorang).
Bagi pakej ketiga, ia melibatkan aktiviti membina terarium dalam bekas kaca terbuka bersaiz sederhana dan setiap peserta dikenakan bayaran RM70 seorang.
Masa
Untuk pakej keempat pula, peserta akan dikenakan bayaran RM135 bagi aktiviti membina terarium di dalam bekas tertutup bersaiz sederhana, manakala pakej kelima menggunakan bekas kaca yang besar dengan bayaran RM250.
“Setiap aktiviti membina terarium selalunya mengambil masa antara sejam hingga dua jam, bergantung kepada kecepatan seseorang menyusun setiap pokok, lumut, batu perhiasan dan miniatur mengikut rekaan landskap yang diinginkan.
“Kebiasaannya, pelanggan yang datang ke sini masih tidak mempunyai idea atau gambaran awal tentang landskap yang ingin dibuat sehinggalah mereka memilih bekas kaca, miniatur dan pokok hiasan,” katanya memberitahu, kebanyakan pengunjung di situ terdiri daripada keluarga selain golongan muda yang datang secara berkumpulan.
Katanya lagi, disebabkan ruang yang agak terhad, dia hanya mampu menyediakan ruang aktiviti yang boleh memuatkan sehingga 10 orang pada satu-satu masa. Begitupun jelas Ivan, bagi kumpulan yang lebih ramai, dia bersedia untuk membawa semua peralatan dan kelengkapan untuk membina terarium ke tempat yang dipilih oleh pelanggan bagi memberi lebih keselesaan.
Selepas dua jam menghabiskan masa membina terarium mengikut kreativiti masing-masing, Lee Li dan pasangannya Wui Seng mengakui, mereka sudah jatuh hati dengan aktiviti itu dan merancang untuk membina lebih banyak terarium dengan konsep yang berbeza pada masa akan datang.
Malah kata mereka, aktiviti itu mampu memberi pengalaman yang berbeza berbanding hanya menghabiskan cuti hujung minggu dengan membeli-belah atau menonton wayang.
0 comments:
Post a Comment