My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 21 February 2017

    Black Cuba Jarak Hubungan




    Selepas Akim dan Hazama menjalankan tugas sebagai mentor di Mentor Milenia 2017 yang masing-masing memilih dua protege, tiba giliran Black serta Tomok untuk memilih protege mereka, malam kelmarin. Dalam program yang dipancarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Shah Alam itu, Black memilih dua protege iaitu Syeera dan Nuzul untuk meneruskan perjalanan ke peringkat seterusnya. 

    Tomok pula memilih Along dan Qalisya sebagai ‘senjata’ untuk berjuang dalam program realiti terbitan TV3 itu. Black ketika ditemui berkata, semua protegenya yang membuat persembahan di konsert pengenalan kedua ini memberikan persembahan terbaik berbanding sebelumnya.

    “Itulah yang menyukarkan saya untuk membuat keputusan bagi memilih dua daripada mereka bertiga. Setiap kali menjalani latihan, prestasi mereka semakin baik dan terus meningkat. Keputusan yang saya lakukan pada malam ini (kelmarin) adalah keputusan yang sukar dan benar-benar di luar jangkaan.

    “Bagaimanapun, saya memilih yang terbaik dan saya yakin Syeera dan Nuzul ada kekuatan masing-masing untuk membawa warna baru dalam industri muzik,” katanya. Menurut Black lagi, pada awalnya dia ingin mencipta jurang antara dirinya dengan semua protege di bawah bimbingannya. 

    “Saya ingin wujudkan jurang kerana saya tidak mahu mereka terlalu manja apabila kami semakin rapat. Namun, percubaan saya itu nampaknya tidak berapa menjadi kerana saya sendiri tak dapat berasakan kehangatan pertandingan itu.

    “Jadi, saya akan perlahan-lahan mengenal hati budi mereka, sekali gus tahu apa yang mereka suka dan sebaliknya,” katanya.

    Ditanya mengenai strateginya untuk membawa dua protegenya berjuang melawan protege daripada tiga mentor yang lain, Black memaklumkan dia ada beberapa perancangan. “Saya berkemungkinan akan bekerjasama dengan Tomok dan akan bersama-sama membimbing protege kami. Kami memang rapat sejak awal kemunculan saya lagi, jadi ada keserasian antara kami,” katanya.

    Tomok tak mahu penonton bosan

    Tomok sukar untuk memilih protege kerana dia sentiasa berfikiran lebih jauh dan tidak hanya sekadar untuk menjayakan program ini semata-mata. “Adakah mereka sudah bersedia untuk bersaing dengan protege lain dan pelbagai jenis lagu tugasan yang akan saya berikan? Selepas meneliti secara keseluruhan, saya memilih Along dan Qalisya sebagai protege,” katanya.

    Menurut Tomok, dia akan menggunakan pengalamannya dalam beberapa program realiti sebelum ini bagi membantu kedua-dua protegenya itu. “Sebelum ini, saya pernah menyertai One In A Million, Versus dan Pop Krew sebagai pembimbing. Tentunya saya akan kongsi dan gunakan pengalaman saya dalam semua program realiti itu untuk membantu Along dan Qalisya,” katanya.

    Tomok berkata, bagi memastikan penonton tidak bosan, dia akan menyusun senarai lagu daripada pelbagai genre untuk protege-protegenya. “Untuk konsert pengenalan, saya lebih memberikan perhatian kepada vokal mereka. Kekuatan vokal mereka tentunya akan membantu membawa mereka ke peringkat seterusnya dan secara tak langsung, kemampuan lain dalam persembahan akan muncul,” katanya.

    Sementara itu, penerbit Mentor Milenia 2017, Muhamad Sufian Isa berkata, proses penyingkiran akan bermula Ahad ini.

    “Ahad ini, lapan protege akan beraksi dan setiap minggu, seorang protege akan disingkirkan berdasarkan 50 peratus markah daripada juri profesional, 30 peratus undian penonton di laman web rasmi Mentor Milenia dan 20 peratus daripada undian juri awam,” katanya.

    Mentor Milenia 2017 diacarakan Issey Fazlisham dan Marsha Milan dan disiarkan secara langsung di TV3 setiap Ahad, jam 9 malam.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Black Cuba Jarak Hubungan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top