My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 13 February 2017

    Kerajaan Tidak Campur Tangan


    Kerajaan tidak mempunyai sebarang masalah berhubung cadangan DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) melepaskan 51 peratus kepentingannya dalam Proton Holdings Berhad (Proton) dalam usaha mendapatkan rakan strategik asing (FSP) bagi syarikat pengeluar kereta nasional itu. 

    Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkembangan itu baik untuk Proton bagi membolehkannya muncul sebagai jenama antarabangsa yang lebih dikenali berbanding hanya memfokuskan kepada pasaran tempatan.

    “Apa yang penting ialah membawa lebih ramai pelabur ke Malaysia dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia (MRCA) di sini, baru-baru ini.

    Beliau berkata, Proton bukan lagi milik kerajaan dan kerajaan tidak berhasrat untuk mempunyai sebarang kepentingan dalam syarikat berkenaan. “Tidak timbul sebarang masalah untuk Proton meneruskan rancangannya kerana ia milik persendirian dan sebarang usaha mencampuri urus niaganya adalah tidak wajar.

    “Bagaimanapun, kerajaan akan terus memberi pandangan terhadap Proton dan syarikat itu memerlukan satu FSP bagi membolehkan usaha penerapan teknologi baru selain memperkenalkan kereta yang lebih baik dan boleh dibeli di peringkat global,” katanya.

    Menurutnya, Proton tidak boleh beroperasi secara sendiri dan hanya berharap kepada pasaran domestik kerana ia bukan strategi yang mampan untuk meningkatkan jualan kenderaannya. “Saya berpendapat cabaran utama Proton ketika ini adalah mengenai jumlah jualan kenderaannya kerana jika jualan kurang, sesebuah syarikat tidak dapat mencapai prestasi mampan,” katanya.

    Baru-baru ini, DRB-HICOM sebagai syarikat induk kereta nasional itu mengeluarkan kenyataan yang ia tetap akan mengekalkan pegangan ekuiti yang besar dalam Proton dan pendirian itu tidak berubah. Malah, dalam membuat penilaian FSP yang baru, syarikat itu akan menilai niat FSP berpotensi dalam menggunakan rangkaian vendor tempatan semasa bagi mengelakkan mereka dipinggirkan.

    DRB-HICOM percaya Proton mampu menjadi pengeluar kereta lebih berjaya kerana rakan strategik asing berupaya memulihkan semula pengeluar kereta nasional itu menerusi akses kepada platform, enjin serta teknologi baru, sekali gus menambah baik rangkaian produk dan kualitinya.

    Johari berkata, walaupun tidak mahu mencampuri sebarang keputusan Proton, kerajaan peka terhadap syarikat berkenaan kerana mempunyai 10,000 pekerja dan memastikan pekerjaan mereka dilindungi. 
    Menurutnya, Proton perlu memastikan beberapa perkara lain selain melindungi pekerja seperti vendor dan berkembang positif selepas mengadakan kerjasama dengan rakan strategik asing.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kerajaan Tidak Campur Tangan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top