Kunjungan "King of the King" dan Penjaga Dua Buah Masjid Suci Umat Islam, Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia hari ini menandakan betapa eratnya hubungan dua hala Putrajaya -Riyadh yang telah terjalin sejak sekian lama. Smeemangnya, kunjungan ini menjadikan persahabatan antara dua buah negara Islam ini akan menjadi lebih erat yang telah terjalin sejak lebih 617 tahun lalu.
Sebenarnya, hubungan erat antara kerajaan Arab ini dengan Malaysia telah terjalin sejak 1,400 tahun yang lalu sewaktu Kesultanan Melayu Melaka. Pada ketika ini, antara pedagang luar yang mula-mula sekali menjejakkan kaki ke Tanah Melayu ini adalah pedagang dari Arab yang singgah di Pelabuhan Melaka dalam perjalanan mereka ke Tanah Besar China.
Melalui Kesultanan Melayu Melaka, para pedagang dan alim ulama dari Tanah Arab ini menjadikan Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam di Nusantara selain menjalankan perdagangan. Menurut sejarah, kebanyakan pedagang Arab yang datang ke Melaka adalah dari Tanah Arab, Oman dan Aden.
Selama beberapa dekad, hubungan dua hala ini terlalu erat selain daripada hubungan diplomatik antara Kerajaan Melayu Melaka dan Kerajaan China. Namun, hubungan ini terjejas dan seterusnya terputus sewaktu Portugis menakluk Melaka pada tahun 1511. Hubungan Diplomatik ini kembali terjalin selepas Malaya (Malaysia) mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Sebaik Malaysia mengecapi kemerdekaan, antara negara pertama yang menghantar wakilnya ke Malaysia adalah Arab Saudi dan ini telah membuka lembaran baru dalam hubungan diplomatik pada era moden.
Kemuncaknya adalah pada 1970 apabila Almarhum Raja Al Malik Faisal berkenan mengunjungi Kuala Lumpur dan sekaligus mempertingkatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara. Kunjungan ini dianggap berjaya kerana menerusi kunjungan ini, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi memperkukuhkan hubungan diplomatik, ekonomi, dan usahasama serantau.
Malah pada ketika itu, Kerajaan Arab Saudi memberikan bantuan kewangan kepada Malaysia menerusi dua bentuk. Bantuan berkenaan merangkumi Dana Pembangunan Arab Saudi dan bantuan untuk mengukuhkan pembangunan Malaysia.
Hubungan antara Kuala Lumpur -Riyadh ini terus berjalan seiring dengan waktu di mana kerajaan Arab Saudi menyokong usaha Malaysia untuk mengembangkan syiar Islam di negara ini. Untuk ini, pada tahun 1983, kerajaan Arab Saudi menyumbang bantuan untuk menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Universiti Islam Antarabangsa.
Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa kerajaan Arab Saudi pernah menyumbangkan USD $ 200 juta dalam bentuk kewangan bermula menerusi Pelan Ekonomi Ketiga Negara (1976-1980). Pada 1976 hingga 1983, Malaysia terus menerima bantuan berbentuk pinjaman menerusi tiga projek mega utama negara.
Projek-projek berkenaan adalah penempatan Lepar Utara, pembinaan lima buah Maktab Rendah Sains Mara dan pembinaan empat hospital daerah. Kesemua sumbangan ini disalurkan terus dari Arab Saudi kepada kerajaan Malaysia dan sejak 1970, tiada seorangpun Raja Arab Saudi singgah ke Malaysia walaupun menurut rekod, Raja Arab Saudi pernah mengunjungi Singapura dan Indonesia.
Hari ini, hubungan kerjasama Riyadh - Putrajaya terus berkembang menerusi pembabitan Malaysia dalam ASEAN dan kerjasama dengan Arab Saudi samada menerusi OIC mahupun membabitkan pertahanan.
Pada Disember 2015, Malaysia telah menyertai ahli gabungan tentera Islam 34 buah negara yang akan bertindak menjadi benteng utama ketenteraan dalam memerangi keganasan terutamanya sebarang ancaman terhadap dua buah Masjid Suci Umat Islam, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Justeru tidak hairanlah kenapa Arab Saudi amat menyanjungi hubungan akrab antara Malaysia yang di pimpin oleh Datuk Seri Mohd Najib dan Arab Saudi yang diketuai oleh Raja Salman Abdulaziz Al Saud.
0 comments:
Post a Comment