Dia duduk sopan di hadapan penulis sambil memegang hujung tudung berona gelap. Hanya sesekali memanggung kepala. Sepatah ditanya sepatah juga jawapannya. Mungkin pemalu atau tidak gemar ceritanya dibongkar. Anak sulung empat beradik ini dihantar ibu bapanya ke Raudhatus Sakinah pada 2015 selepas video dia melakukan hubungan seks bersama teman lelaki tersebar di laman sosial.
Menurut Rita (bukan nama sebenar), di sekolah dia bukanlah pelajar nakal atau termasuk dalam kumpulan gadis yang gemar bersosial. Namun entah mengapa perkenalan dengan Saiful (bukan nama sebenar) menerusi laman sosial menyebabkan hatinya terpaut sehingga mengambil keputusan berjumpa jejaka itu hanya selepas dua minggu mengenali.
Lama-kelamaan lelaki itu semakin berani membawanya keluar pada setiap Jumaat dan Sabtu. Ibu pula langsung tidak kisah dengan siapa Rita berkawan. Akhirnya pujukan dan godaan Saiful menyebabkan Rita terpedaya lalu sanggup menyerahkan maruah dirinya.
“Kali pertama kami melakukan hubungan seks di tandas pasar raya. Tanpa segan silu Saiful merakamkan aksi kami menerusi telefon genggam dengan alasan sekadar ingin menyimpan sebagai kenangan. Perbuatan ini menyebabkan kami ketagih. Seterusnya kami melakukan perbuatan terkutuk itu di rumah, hotel dan tandas awam,” kata Rita memulakan cerita.
Selepas beberapa kali melakukan hubungan seks, Rita tidak datang haid seperti biasa. Badan pula sering letih dan perasaan menjadi tidak menentu. Teman lelaki membelikan alat ujian kehamilan dan memberikannya kepada Rita.
“Alangkah terkejutnya kerana saya mengandung. Saya terus menangis ketakutan tetapi Saiful menenangkan saya dan berjanji akan bertanggungjawab atas apa yang sudah berlaku,” katanya yang merahsiakan perkara itu daripada ibunya.
Mujur dia tinggal di asrama jadi ibu tidak nampak sebarang perubahan pada dirinya. Suatu hari Saiful menjemput Rita di asrama dengan alasan ingin membawanya ke klinik untuk membuat pemeriksaan, Rita pula menurut saja. Di klinik jururawat meminta Rita mengambil dua biji ubat, sejurus selepas dua jam perutnya mula memulas seperti senggugut.
Lama- kelamaan semakin teruk sehingga dia terpaksa memanggil jururawat bertugas. Selepas itu Rita tidak sedar apa yang berlaku. Selepas tersedar Rita dapati teman lelaki ada di sebelahnya. Rita bertanya apa yang berlaku ke atas dirinya namun Saiful hanya berdiam seperti orang yang tidak bersalah.
Doktor memberikan plastik kepada Saiful dan sekali lagi Rita bertanya apa ada di dalam plastik itu namun dia hanya senyap. Dalam perjalanan pulang ke asrama Saiful mencampakkan plastik itu di dalam tong sampah.
“Memang saya menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan kandungan saya. Bahagian kemaluan saya juga terasa perit dan sakit. Saya meminta Saiful berterus terang dan dia mengatakan yang kandungan saya sudah gugur. Saya berasa sangat sedih, marah dan kecewa dengan tindakan Saiful. Namun apa yang mampu saya lakukan kerana semuanya sudah terjadi,” kata Rita.
Selain menggugurkan kandungan, perkara yang paling ditakuti terjadi juga apabila video bersama teman lelaki tersebar di Internet. Kebanyakan rakan menelefon bertanyakan perkara itu. Malah ia juga sampai ke pengetahuan ibu bapanya apabila ibunya sendiri menerima rakaman itu dalam bentuk cakera padat.
“Saya dipaksa bercerita perkara sebenar. Mengenai Saiful sehinggalah peristiwa menggugurkan kandungan. Saya lihat ibu menangis manakala ayah langsung tidak bercakap dengan saya. Saya tahu mereka sangat kecewa dan malu dengan apa yang berlaku,” kata Rita.
Akhirnya ibu mencarikan rumah perlindungan dan memilih Raudhatus Sakinah. Mulanya Rita menolak kerana berasakan ini bukanlah tempat yang sesuai untuk dirinya. Namun oleh kerana tidak mahu menyakiti hati ibunya akhirnya Rita bersetuju. Kini sudah hampir dua tahun Rita berada di sini.
Banyak perubahan yang berlaku kepada dirinya daripada tidak lancar membaca al-Quran kini dia sudah mampu membaca dengan baik. Solat lima waktu tidak pernah ditinggalkan. Apabila diingatkan kembali memang dia menyesal kerana menghabiskan masa dengan membuat perkara yang menjatuhkan maruah keluarga. Paling menyedihkan dia menjadi pembunuh kepada zuriat sendiri.
“Memang saya langsung tidak terniat menggugurkan kandungan atau membuang selepas dilahirkan. Seboleh-bolehnya saya ingin menjaga sendiri. Tetapi saya reda dengan apa yang berlaku dan semoga Allah mengampunkan semua dosa yang saya lakukan,” katanya yang menyimpan impian ingin menjadi penulis novel suatu hari nanti.
Gugur kandungan usia lima bulan
“Saya tidak sedar mengandung sehingga usia kandungan empat bulan. Ketika itu dalam tingkatan lima dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Apa yang membuatkan saya tertekan apabila teman lelaki tidak mahu bertanggungjawab sebaliknya meminta menggugurkan kandungan. Alangkah sedihnya apabila memikirkan zuriat ini,” ujar Amalin (bukan nama sebenar) yang kini tinggal di Raudhatus Sakinah sejak Februari 2016.
Menuruti kehendak teman lelaki, akhirnya Amalin dibawa ke sebuah klinik swasta di Klang. Kali pertama bertemu doktor, teman lelaki yang dipanggil Arif (bukan nama sebenar) hanya bertanyakan mengenai kos pengguguran dan prosedur dijalankan.
“Oleh kerana kandungan sudah memasuki usia lima bulan doktor memberitahu ia sangat berisiko untuk digugurkan. Namun kami sanggup menanggungnya. Walaupun hati sangat berat tetapi saya lebih risaukan sekiranya ibu mengetahui mengenai kandungan ini. Sudah pasti ia akan memalukan keluarga,” ujar anak kedua daripada enam beradik ini.
Prosedur pengguguran dilakukan di klinik yang sama. Amalin diberikan dua biji ubat dan perlu dimakan serta merta. Selepas itu ubat lain dimasukkan menerusi vaginanya bagi mempercepatkan proses pembukaan servik. Sedikit demi sedikit timbul rasa sakit. Semakin lama semakin kuat. Amalin diminta bertahan saja.
“Ketika itu saya berasakan seperti hampir putus nyawa, tetapi hanya bertahan dan bersabar dengan harapan janin dapat keluar dengan mudah. Hampir dua malam saya menahan kesakitan dan akhirnya pada subuh hari kedua bayi saya dilahirkan, namun sudah tidak bernyawa,” katanya.
Dalam keadaan tidak bermaya dan keletihan Amalin dibenarkan pulang ke rumah, tetapi dia memilih untuk tinggal di rumah teman lelaki kerana mahu merahsiakan daripada ibunya. Namun akhirnya rahsia Amalin terbongkar apabila ibu memintanya pulang ke rumah.
“Saya menurut kehendak ibu dan menceritakan semua yang berlaku kepadanya. Ibu sangat terkejut dan tidak sangka saya sanggup menconteng arang ke mukanya.
“Dia menyatakan saya sudah jauh terlanjur dan perlu dipulihkan segera. Caranya dengan tinggal di pusat pemulihan akhlak. Akhirnya saya dihantar ke Raudhatus Sakinah bagi menjalani proses pemulihan,” katanya yang terpaksa menangguhkan pengajian di kolej.
Menurut Amalin jika diikutkan dia bukanlah pelajar nakal di sekolah. Tetapi perkenalan dengan Arif sejak tiga tahun lalu mengubah segalanya. Pada mulanya mereka sekadar teman biasa, namun perasaan cinta mula berputik selepas setiap kali berjumpa. Arif pula tanpa malu memegang tangan dan menyentuh tubuhnya sehingga dia berani mengajak Amalin bermalam di hotel.
Melakukan hubungan seksual seakan-akan menjadi perkara biasa bagi Amalin dan Arif pada setiap hujung minggu. Kini selepas setahun bersama rakan di Raudhatus Sakinah, aktiviti keagamaan banyak mengubah kehidupannya menjadi lebih baik dan positif.
Menurut Penolong Pengurus Raudhatus Sakinah Nusaibah Norbawi, 26, kebanyakan penghuni di sini adalah mereka yang dihantar ibu bapa atau penjaga selepas terbabit dengan pelbagai masalah sosial seperti mengandung luar nikah, berzina dan menggugurkan kandungan. Biasanya remaja akan ditemu bual terlebih dulu bersama ibu bapa bagi mengetahui masalah yang dihadapi mereka.
“Bagi yang sedang mengandung, anak yang bakal dilahirkan akan diberikan kepada keluarga angkat atas persetujuan keluarga. Ini bagi mengelak keluarga berasa tertekan atau berhadapan masalah di kemudian hari,” katanya.
Katanya lagi, penghuni akan melalui jadual harian padat supaya mereka tidak mengingati apa yang sudah berlaku. Ia bermula pada jam 3.30 pagi, seperti mengaji al-Quran, solat berjemaah sehinggalah ceramah agama. Pada mulanya mungkin ada pelatih yang masih terbayang-bayang aktiviti sosial yang mereka lakukan.
Tetapi menerusi aktiviti keagamaan ia dapat mendekatkan diri mereka kepada Allah. “Memanglah bukan mudah membentuk jati diri mereka terutama bagi pelatih yang sudah ketagih seks. Tetapi menerusi pendekatan dengan memperbanyakkan ibadat, kami berharap mereka boleh melupakan apa yang berlaku dan berubah menjadi insan yang lebih baik dan mendapat keredaan Allah,” katanya.
0 comments:
Post a Comment