Organ peranakan jatuh (JOP) atau lebih dikenali sebagai rahim jatuh biasa berlaku dalam kalangan wanita. Dianggarkan, hampir separuh daripada wanita yang pernah melahirkan anak mengalaminya atas pelbagai faktor penyebab.
Bukan saja terjadi kepada ibu yang sudah melahirkan anak, wanita yang belum berkahwin tidak terkecuali daripada mengalami masalah itu terutama dalam kalangan individu lasak dan sering melakukan kerja berat.
Atas pelbagai faktor, ramai penghidapnya enggan bertemu doktor atau bidan terlatih kerana malu atau bimbang dengan prosedur rawatan dilakukan itu mungkin menyakitkan. Pakar perbidanan dan sakit puan, Dr Asiah Abdullah berkata, masalah itu berlaku apabila ligamen dan otot pada bahagian pelvis (pinggul) menjadi lemah atau rosak dan tidak boleh menampung organ pada bahagian berkenaan.
“Apabila ini berlaku, rahim akan jatuh keluar faraj, pundi kencing pula menonjol ke bahagian dinding faraj dan usus besar menonjol ke arah belakang faraj. Walaupun tidak mengancam nyawa, ia mendatangkan rasa tidak selesa dan berkemungkinan penderitaan emosi,” katanya.
Jenis JOP
Bahagian atas/bumbung faraj
Sekiranya ia membabitkan bahagian atas, rahim akan jatuh ke bahagian faraj (uterine prolapsed).
1. Rahim turun sedikit. Kebanyakan wanita mungkin tidak menyedari keadaan ini. Kebiasaannya, ia hanya diketahui apabila pemeriksaan dijalankan oleh doktor atas tujuan lain seperti pap smear.
2. Rahim jatuh lebih jauh ke bawah dan pangkal rahim boleh dilihat di muka pintu faraj.
3. Hampir keseluruhan rahim jatuh terkeluar daripada faraj.
Bahagian hadapan
Pundi air kencing jatuh ke dalam faraj. Ia akan menolak dinding faraj ke hadapan yang menonjol seperti satu benjolan. Kebiasaannya pundi dan salur kencing akan jatuh sekali (Cystourethrocele) dan paling biasa berlaku pada wanita.
Bahagian belakang faraj
Menurut Dr Asiah, sebahagian daripada usus kecil yang mengisi ruang antara rahim dan faraj boleh jatuh di kawasan antara faraj dan bahagian akhir usus besar (rektum). “Jika rektum pula yang jatuh, ia akan membentuk satu benjolan di belakang faraj berhampiran dengan dubur yang dipanggil rektosele.
“Kemungkinan besar kedua-dua keadaan ini boleh berlaku serentak dan harus diperiksa secara menyeluruh. Ini amat penting kerana jika tidak dikenal pasti, ia boleh meningkatkan kesengsaraan pesakit,” katanya.
Menurutnya, satu lagi keadaan dipanggil vault prolapse yang berlaku selepas pembedahan histerektomi atas apa jua masalah. “Ini mungkin mengambil masa untuk berlaku selepas sokongan oleh otot keliling dan bekas jahitan pada faraj menjadi lemah lalu jatuh ke bawah.
“Ia terjadi pada 15 peratus wanita yang menjalani pembedahan histerektomi disebabkan JOP dan hanya satu peratus atas alasan lain seperti fibroid,” ujarnya.
Punca
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan otot dan ligamen pelvis menjadi lemah antaranya kehamilan, bersalin, usia, menopaus, obesiti, ketumbuhan seperti fibroid yang besar, batuk atau sembelit kronik.
Punca lain termasuk mengangkat bebanan yang berat, keturunan, menjalani pembedahan pelvis seperti histerektomi, pembetulan pundi kencing dan kerosakan atau kecederaan pada saraf tunjang.
Simptom dan diagnosis
Wanita yang mengalami masalah JOP yang sedikit ada kalanya tidak merasai sebarang simptom atau ketidakselesaan. “Sekiranya pundi kencing yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan wanita sukar mengawal kencing, kerap kencing atau kencing tidak puas.
“Apabila usus kecil atau besar yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan sembelit, rasa tidak puas buang air besar sehingga kadangkala terpaksa memasukkan jari untuk mengeluarkan najis,” katanya.
Organ rahim jatuh pula menyebabkan wanita berasa seolah-olah ada sesuatu yang berat di celah alat sulitnya. Dalam keadaan yang teruk apabila rahim jatuh keseluruhannya, ia boleh menyebabkan luka, berdarah dan jangkitan kuman.
Antara langkah pencegahan:
• Elak berdiri terlalu lama. Ambil masa untuk duduk seketika dan melunjurkan kaki ke atas bangku. Ini selalu berlaku pada jururawat, guru, doktor dan juga mereka yang selalu ke kawasan kerja seperti jurutera.
• Melakukan senaman pelvik amat penting walaupun pada zaman bujang. Ia menguatkan otot dalaman, membantu mempercepatkan proses pemulihan selepas pembedahan, mendapatkan semula rasa mengawal kencing dan mengurangkan sakit belakang.
• Amalkan pemakanan yang betul bagi mengelak sembelit kronik. Banyakkan makan sayur-sayuran, buah- buahan dan bijirin/bran. Elak daripada meneran di bilik air lebih 15 minit. Sama ada anda puas membuang air atau sebaliknya, sila keluar dari bilik air.
• Memakai sut pelangsingan badan yang sesuai boleh membantu tetapi bukan korset yang amat ketat.
• Jangan merokok dan jauhkan diri daripada perokok bagi menghindari batuk yang kronik.
• Elak daripada kerap hamil atau mengandung pada jarak yang rapat antara satu-satu kelahiran. Cubalah kaedah perancang keluarga yang mempunyai peratus kejayaan tinggi.
Rawatan
Dr Asiah berkata, sekiranya JOP masih di peringkat awal, pesakit akan dirujuk kepada pakar fisioterapi untuk mengajar teknik senaman pelvik. “Selain itu, pesari faraj iaitu alat berupa gelang yang terdapat dalam beberapa saiz boleh digunakan untuk mengekang rahim daripada jatuh.
“Ia boleh digunakan oleh wanita dari pelbagai peringkat usia reproduktif atau wanita menopaus yang tidak boleh atau tidak memilih cara pembedahan,” jelasnya. Menurutnya, ia mungkin disebabkan wanita itu muda dan masih mahu hamil dan melahirkan anak atau wanita berusia yang tidak sihat untuk menjalani pembedahan.
“Namun ia perlu diganti setiap tiga atau empat bulan dan pesakit hendaklah berjumpa pakar sakit puan untuk memasang dan menukarnya. Secara amnya, setiap rawatan individu bergantung kepada pelbagai sebab seperti usia, simptom, jenis JOP, perancangan reproduktif dan seksual, tahap kesihatan serta kesannya kepada kehidupan wanita itu,” katanya.
Tambahnya, rawatan pembedahan menjadi pilihan terakhir bagi menangani JOP. “Penghidapnya juga boleh berjumpa bidan terlatih yang mempunyai kemahiran dalam membantu merawat keadaan ini. “Kebiasaannya, teknik urutan yang betul sedikit sebanyak mampu membantu dan menangani keadaan ini, namun penerangan daripada doktor diperlukan terlebih dulu,” ujarnya.
Kaedah urutan
Sementara itu, bidan bertauliah yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang perbidanan Melayu, Nur Qamarul Ahmad Rashidi berkata, gaya hidup dan corak pemakanan memainkan peranan dalam proses menjaga rahim. “Melakukan kerja berat antaranya mengangkat barang berat atau mendukung anak juga boleh menjadi punca masalah ini.
“Penjagaan rahim amat penting kerana sekiranya rahim seseorang itu tidak sihat, ia mempengaruhi keadaan dan emosi dirinya,” katanya. Menurut Nur Qamarul, antara kaedah yang boleh dilakukan adalah dengan urutan dan bertangas.
“Luangkan masa sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan untuk melakukan rawatan tradisional bagi memastikan rahim dalam keadaan baik. Saya banyak bertemu wanita yang mengalami masalah ini, bukan saja wanita yang sudah berkahwin, malah yang masih anak dara.
“Sekiranya keadaan masih di peringkat awal, teknik urutan yang betul mampu mengawalnya, namun jika ia sudah terlalu teruk, perbincangan bersama doktor perlu dilakukan.
“Jalan terakhir adalah pembedahan untuk membuang rahim namun sebelum berdepan dengan pilihan itu, setiap wanita disarankan untuk menjaga rahimnya sebaik mungkin. Rahim pada hakikatnya lebih penting daripada penjagaan wajah kerana ia memberi kesan pada seluruh tubuh seseorang,” katanya.
0 comments:
Post a Comment