Kehadirannya menggembirakan dan setiap hadiah dibawanya juga dihias cantik yang pasti menambah keterujaan individu yang menerimanya. Menjalankan perkhidmatan penghantaran kejutan bukan saja membuatkan penerima berasa gembira, malah wanita ini juga begitu teruja setiap kali menyelesaikan tugasannya.
Bagi Khairul Bariyah Kamaruzaman, 33, menjalankan perkhidmatan penghantaran kejutan memberikannya 1,001 pengalaman dan keterujaan sepanjang tempoh penghantaran hadiah itu. “Saya menerima pelbagai tempahan daripada pelanggan. Tempahan paling banyak berupa gubahan bunga dan coklat yang saya hias sendiri sebelum dihantar kepada penerimanya.
“Pelbagai reaksi dapat dilihat ketika melakukan tugas itu dan kebanyakan penerimanya berasa begitu gembira dengan kejutan diterima,” katanya.
Khairul Bariyah yang kini menetap di Klang, Selangor berkata, dia menjalankan perkhidmatan penghantaran kejutan itu sejak 2014. “Sambutan diterima amat menggalakkan dan saya menerima tempahan tiga hari sebelum tarikh penghantaran. Namun saya masih menerima sekiranya tempahan itu dilakukan pada saat akhir kerana kasihan pada pelanggan.
“Dalam bidang ini, perkara paling utama adalah kegembiraan penerima dan kepuasan hati pelanggan yang melakukan kejutan itu,” ujarnya.
PERMUDAHKAN INSAN LAIN
Mengakui sememangnya dia mempunyai minat dalam bidang gubahan kraf dan bakeri sejak kecil menjadikan ibu kepada tiga cahaya mata ini serasi dengan bidang diceburinya kini. Menurut Khairul Bariyah, dia baru saja melepaskan kerjaya tetapnya bagi menumpukan sepenuh perhatian dalam perniagaan dijalankan kini.
“Disebabkan tidak menang tangan, saya terpaksa berhenti bagi memastikan saya fokus dalam bidang ini dan dapat memberikan yang terbaik kepada setiap tempahan. Selain gubahan bunga dan coklat, saya turut menerima tempahan gubahan kek, perancang majlis selain melakukan hiasan hantaran,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini dia memberikan perkhidmatan penghantaran kejutan di sekitar Lembah Klang, Putrajaya, Cyberjaya, seluruh Selangor juga negeri lain bersesuaian dengan harga yang dipersetujui.
“Harga perkhidmatan yang saya jalankan ini serendah RM80 dan pelanggan boleh memberitahu jenis gubahan, kek atau hadiah. Apa yang saya lakukan ini ternyata dapat memudahkan setiap individu yang ingin menggembirakan insan tersayang pada hari istimewa atau sebarang tujuan lain,” ujarnya.
Tambahnya, gubahan, jenis hadiah dan harga perkhidmatannya boleh didapati dengan melayari laman Facebook Khairul Bariyah dan Instagram @barieah_sweetbites. “Syukur semakin hari perniagaan ini semakin dikenali dan saya menerima pelbagai tempahan daripada pelanggan yang kebanyakannya mahu menggembirakan hati insan tersayang.
“Saya juga pastikan dapat menunaikan semua tempahan pelanggan walaupun kadangkala terpaksa bersengkang mata demi menyiapkan tempahan terutama sesi menggubah hadiah,” katanya.
PERANCANGAN MASA DEPAN
Pastinya sesiapa saja mengimpikan segala yang dilakukan terutama membabitkan perniagaan dapat berkembang maju. “Saya mempunyai perancangan untuk membuka sebuah kafeteria berkonsep santai yang turut dilengkapi kedai bunga, bahagian perbincangan khidmat penghantaran kejutan juga ruang untuk pelanggan menganjurkan sebarang acara.
“Saya amat berharap impian ini akan tercapai dalam tempoh terdekat, apatah lagi ia lebih memudahkan saya juga pelanggan,” ujarnya.
Di samping kesibukan menjalankan khidmat penghantaran kejutan itu, Khairul Bariyah tidak sesekali mengambil mudah urusan rumah tangga dan anak-anak. “Syukur, suami amat memahami dan anak-anak juga mulai faham dengan tugas ibu mereka. Walaupun anak-anak masih bersekolah dan saya juga sibuk menguruskan mereka, ia bukan halangan untuk saya terus berjaya.
“Saya tidak sesekali mengambil mudah semua perkara. Saya akan pastikan jadual harian teratur kerana perlu bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi mengikut permintaan pelanggan,” katanya.
Tambah Khairul Bariyah, segala penat lelahnya berbaloi setiap kali melihat penerima kejutan begitu gembira dan teruja dengan hadiah serta kejutan diterima. “Ada yang menangis, gelak, terdiam dan apa juga reaksi pastinya mereka gembira dengan kejutan diterima.
“Kegembiraan serta kepuasan pelanggan dan penerima menjadi sumber kekuatan saya untuk terus maju sebagai ‘si pembuat kejutan’ ini, “ ujarnya mengakhiri bicara.
0 comments:
Post a Comment