Sushi antara makanan popular Jepun yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kita tanpa mengira bangsa hingga boleh dikatakan di negara ini sajian itu begitu mudah didapati. Melihat peluang terbuka luas di depan mata, pasangan suami isteri muda ini tidak teragak-agak menjadikan sushi sebagai mata pencarian memandangkan sambutan terhadap makanan itu tidak kurang hebatnya.
Apatah lagi melihat penyediaan sushi oleh orang Islam agak terhad malah isu keraguan status halal membuatkan mereka terpanggil untuk menjalankan tanggungjawab fardu kifayah kepada masyarakat Islam yang menggemari hidangan itu.
Nyata percaturan yang dibuat Atiqah Sulaiman dan suami, Mohd Firdaus Ayub membuahkan hasil apabila perniagaan sushi buatan mereka, Sushika semakin mendapat tempat di hati pelanggan setia. Menariknya, sushi buatan suami isteri masing-masing berusia 27 tahun itu dibuat mengikut cita rasa tempatan dan ada antaranya diberi sentuhan Melayu dengan menambah sambal dan serunding.
Menurut Atiqah, ramai pelanggannya yang sebelum ini tidak menggemari sushi dan tidak pernah merasainya, tertarik dengan resipi yang dihasilkan mereka dan sudah dapat menerima hidangan itu. “Tidak sangka pula, ramai pelanggan saya sebelum ini tidak suka makan sushi kini sering membuat tempahan dengan kami kerana bagi mereka rasa sushi ini dapat diterima tekak.
“Lagipun, sushi kami dimasak sepenuhnya kerana tidak semua orang suka makan sushi dengan ikan atau makanan laut mentah. Selain itu, kami juga membuat sushi daripada daging dan ayam untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang tidak boleh makan makanan laut,” katanya.
Selera jadi inspirasi
Diusahakan sepenuhnya di rumah mereka di Selayang dan dipasarkan menerusi media sosial, Atiqah berkata, perniagaan makanan bukanlah asing buat keluarganya dan suami. Bapa dan kakak Firdaus, masing-masing mengusahakan perniagaan ayam goreng, jeli kelapa dan murtabak.
Menurut Atiqah, Sushika diusahakan mereka sejak lebih setahun lalu. Sebelum itu kedua-duanya terbabit dalam pemasaran pelbagai tingkat produk kesihatan sejak masing-masing mengikuti pengajian di universiti lebih tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun, ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia terpaksa memperlahankan pembabitan dalam perniagaan itu kerana kerjaya berkenaan memerlukannya bergerak aktif ke merata-rata tempat, pada masa sama dia perlu menguruskan dua anaknya dan mengandungkan anak ketiganya ketika itu.
“Saya lebih gemar menjaga dan melihat anak saya membesar depan mata. Kekangan masa ketika menjual produk kesihatan dulu membuatkan saya nekad untuk menambah pendapatan dari rumah.
“Saya dan suami membuat kajian mengenai produk yang mungkin menjadi permintaan di pasaran. Masa itulah tercetus idea untuk kami mulakan pembuatan sushi, kebetulan pula saya adalah penggemar makanan itu,” katanya.
Atiqah tidak menunggu lama untuk memulakan langkah dan rezeki memihak kepadanya apabila rakan kakak iparnya yang sudah 10 tahun menetap di Jepun sudi mengajarnya membuat sushi. Apabila sudah mahir membuat hidangan itu, Atiqah dan Firdaus cuba menjualnya di pasar malam di sekitar Lembah Klang, namun tiga bulan pertama perniagaan mereka tidak begitu memberangsangkan.
“Dalam sehari, kurang 10 gulung sushi dapat dijual di pasar malam. Masa itu, memang sukar buat kami kerana ia tidak seperti yang diharapkan. Tidak ramai orang yang datang mahu membeli sushi dan ia juga agak asing kerana tidak pernah ada orang menjual makanan itu di pasar malam.
“Tapi kami tidak berputus asa dan yakin pasti ada jalan untuk memajukan perniagaan kami. Kami menghadiri kelas pemasaran dan mula pasarkan melalui media sosial,” katanya. Atiqah berkata, percubaan mereka memasarkan melalui Facebook ketika itu membuahkan hasil dan kami membuat penghantaran melalui tempahan yang dibuat pelanggan.
Modal RM100
Dengan bermodalkan RM100 dan hanya mampu menjual lapan gulung sushi ketika memulakan Sushika, kini jualan mereka meningkat 10 kali ganda dan menerima tempahan tidak kurang 80 gulung sehari hingga mereka tidak menang tangan.
Atiqah berkata, mereka kini memiliki tiga kakitangan yang mengambil tempahan secara dalam talian, penghantar dan penggulung sushi selain dia dan suami yang menguruskan sepenuhnya pembuatan sushi. Katanya, jika dulu perniagaan itu dibuat semata-mata untuk menyara hidup sekeluarga, kini mereka berhasrat untuk membantu orang lain menambah pendapatan sebagai ejen Sushika.
Sementara itu, Firdaus berkata, minat terhadap perniagaan bercambah ketika menuntut di universiti hingga selepas tamat pengajian mereka mengambil keputusan untuk berkahwin ketika masing-masing berusia 20 tahun.
Katanya, meskipun berkahwin pada usia muda, mereka mampu menyara diri dengan berniaga malah kedua-duanya tidak pernah meminta kerja kerana tidak berminat untuk makan gaji. “Mengusahakan Sushika juga pada mulanya tidak mudah kerana tidak semua orang menggemari sushi apatah lagi ia bukan makanan ruji orang Melayu.
“Tapi kami yakin dengan resipi yang diolah mengikut selera orang kita dan sesuai dimakan semua orang, Sushika mungkin diterima ramai. Alhamdulillah, penerimaannya luar biasa,” katanya.
Selain mahu mendapatkan lebih ramai ejen, mereka mengumpul modal untuk membuka restoran sushi pertama malah Sushika kini dalam proses menghasilkan produk sushi sejuk beku menerusi kerjasama dengan MARDI.
Katanya, Sushika kini menawarkan tujuh jenis sushi iaitu merecik hawau (sambal), maharaja udang, maharani salmon, serunding, tuna mayonis, inari lembu eksotik dan inari bbq salmon manakala produk itu mampu tahan selama dua hari jika disimpan di dalam peti sejuk.
Selain itu, mereka turut menerima tempahan kek sushi untuk sebarang majlis seperti hari jadi dan hantaran yang turut mencipta kelainan dalam perkhidmatan usahawan muda ini. Menurutnya, penghantaran dibuat di sekitar Lembah Kelang, Shah Alam, Klang, Bangi dan Putrajaya menerusi pratempahan di laman sosial seperti Facebook Sushika dan atiqah sulaiman serta Instagram atiqah_sushika.
0 comments:
Post a Comment