Mampukah edisi ke-22 Le Tour de Langkawi (LTdL) menjanjikan saingan sengit 19 pasukan bersaing walaupun hanya sebuah pasukan Pro Tour, Dimension hadir kali ini?
Saingan yang mempertaruhkan lapan peringkat perlumbaan ini dilihat menjadi detik penentu kepada LTdL untuk membuktikan perlumbaan memasuki edisi ke-22 itu masih mampu menarik minat peminat tempatan dan antarabangsa.
Kali ini hanya Dimension Data pasukan tunggal berstatus elit, namun cabaran pasukan profesional benua dari Itali dan Columbia tidak seharusnya diperkecilkan. Mereka mempunyai sejarah dan kemampuan luar biasa sehingga boleh melakar kejutan pada saingan berstatus 2.HC dalam kalendar Jelajah Asia ini.
Antara pasukan profesional benua yang bakal mendapat perhatian adalah Androni Giocattoli, Willer Triestina, Bardiani CSF, Nippo-Vini Fantini dan Manzana Postobon Team. Nama pelumba seperti Jakub Mareczko, Andrea Palini, Nicolas Marini, Paolo Simion, Scott Sunderland, Anuar Manan dan Mohd Harrif Saleh akan menjadi tumpuan laluan landai.
“Kehadiran pelumba ternama seperti Filippo Pozzato sebagai rakan sepasukan pasti akan menguatkan semangat saya kali ini. Dia akan membantu dalam membuka laluan kepada saya menuju garisan penamat,” jelas Mareczko.
Pakar pendaki seperti Jacques Janse van Rensburg, Elain Bernal, Daniel Jaramillo, Enrico Barbon, Camerin Bayly dan Dadi Suryadi akan menjadi tumpuan memburu juara keseluruhan individu. Bermula hari ini di Kuala Berang, pelumba dijadualkan mengharungi laluan berliku untuk menghabiskan jarak sejauh 1,222.2 kilometer di Putrajaya.
Selepas disajikan laluan landai pada peringkat pertama, mereka akan mengharungi pendakian di banjaran Titiwangsa untuk menamatkan jarak terpanjang di Gerik sejauh 208.1km. Ia bakal menguji ketahanan pelumba mengharungi tiga negeri bermula di Jerteh selain keadaan cuaca yang panas sepanjang laluan.
Laluan ketiga dari Serdang ke Pantai Remis akan menjadi medan pelumba pecut mempamerkan kayuhan dengan laluan landai tanpa sebarang zon pendakian ditawarkan kerana memberi peluang kepada pakar pendaki “berehat” untuk menghadapi pendakian tertinggi di Cameron Highlands pada peringkat keempat.
Namun, tidak seperti edisi terdahulu, sebarang kejayaan diraih pada peringkat keempat bukan lagi jaminan untuk memenangi jersi yang ditawarkan. Itu antara keunikan yang ditonjolkan pengurus acara Ciclista Sports Sdn Bhd apabila baki empat peringkat turut menghadirkan cabaran tersendiri.
Beberapa zon pendakian seperti Bukit Putus, Seri Menanti, Inas, Gemenceh, Bukit Rokan dan Bukit Miku bakal menjadi penentu kejuaraan. Edisi ke-22 turut menjadi tumpuan dalam aspek kelancaran perlumbaan selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya memberikan dana sebanyak RM6 juta berbanding RM11 juta yang diberikan pada edisi ke-21.
Pengurus acara berjaya mendapatkan sejumlah penajaan bagi menampung pemotongan berkenaan namun sejauh mana ia mengganggu kemeriahan dan kelancaran LTdL 2017 bakal terjawab apabila perlumbaan berlangsung nanti. KFC Cycling Team diumumkan penganjur acara semalam bahawa pasukan dari Indonesia susulan isu dalaman pasukan menjadikan hanya 19 pasukan bersaing.
Malah, masalah pendaftaran lewat untuk cukai jalan membabitkan kira-kira 100 kenderaan rasmi yang digunakan petugas keselamatan, pegawai perlumbaan, logistik menimbulkan situasi kelam-kabut selain kenderaan untuk pasukan bertanding pula dibawa menaiki lori dari Bukit Jelutong, Shah Alam ke Terengganu bagi kegunaan peringkat pertama hari ini.
0 comments:
Post a Comment