Jika melawat daerah Lundu yang berada di DUN Tanjong Datu, selain daripada disajikan dengan pantainya yang cantik dan memutih, bagi mereka yang meminati cabaran lasak, Gunung Gading pasti menjadi pilihan dikalangan pendaki. Gunung yang berketinggian 945 meter ini, jika dilihat dari ketinggian, mungkin ianya tidak segah deretan gunung yang ada di Semenanjung Malaysia.
Namun, jangan menyangka, Gunung Gading mudah untuk ditawan. Sebaik sahaja pengunjung tiba di Taman Negara Gunung Gading, para pendaki dikehendaki untuk mendaftarkan diri di pejabat urusetia sebelum sesuatu kumpulan itu dibenarkan mendaki. Tiada bayaran dikenakan malah jika pendaki memilih untuk tidak mengupah pemandu arah juga, ianya tidak menjadi masalah.
Ini kerana, mengupah pemandu arah adalah pilihan masing-masing. Cuma bagi mereka yang ingin melihat sendiri bunga Rafflesia, mereka perlu mengupah pemandu arah. Bagi pendaki pula, selepas selesai mendaftar, pihak pengurusan akan membekalkan satu salinan peta arah menuju ke puncak Gunung Gading.
Memasuki laluan menuju ke puncak, para pendaki akan melalu laluan berbatu sejauh 500 meter sebelum laluan ini berubah kepada laluan denai. Kira-kira 800 meter perjalanan, pendaki akan bertemu dengan Air Terjun 1 di mana ianya menjadi pilihan bagi mereka yang ingin menikmati kesejukan dan kebersihan air terjun di sini.
Selesai melewati laluan yang berkecuraman 45 darjah ini, pendaki akan bertemu dengan lokasi yang digelarkan sebagai Batu Apek pada jarak 1,000 meter. Diceritakan kononnya batu ini digelar Batu Apek kerana pernah terjadi seorang lelaki Cina tersesat di sini. Selama beberapa hari dia bergantung hidup kepada air yang mengalir di sini sehinggalah dia ditemui orang.
Di ceritakan, sepanjang dia sesat, dia berdoa agar dirinya ditemui dan selepas ditemui, dia menganggap batu berkenaan sebagai batu keramat. Juga diceritakan, sehingga kini, waris lelaki berkenaan akan berkunjung kelokasi ini untuk mengadakan upacara
keagamaan di Batu Apek.
Kira-kira 200 meter dari Batu Apek, pendaki akan bertemu dengan Air Terjun 3 di mana lokasi ini, tidak dibenarkan untuk mandi. Ini kerana, keadaan air terjun yang agak merbahaya selain daripada lokasi kolam tadahan air untuk seluruh penduduk di Lundu.
Di Air Tejun 3 juga mempunyai lagendanya yang tersendiri dikalangan penduduk Lundu. Di ceritakan bahawa air terjun ini menjadi lokasi mandi manda bagi sekumpulan puteri kayangan. Kononnya, di sinilah terdapat serumpun buluh yang ditanam oleh kumpulan puteri berkenaan yang khasiatnya adalah untuk menyembuhkan pelbagai penyakit selain ianya bertindak sebagai penunduk wanita.
Kira-kira 150 meter perjalanan, pendaki akan bertemu dengan saluran air besi yang dibina sejak berdekad yang lalu. Pendaki perlu menyusuri jaringan paip berkenaan sejauh 50 meter sebelum bertemu dengan simpang untuk mendaki ke puncak Gunung Gading. Maka disinilah cabaran sebenar bermula untuk menawan gunung berkenaan.
Bermula dari sinilah, laluan pendakian berubah dari keadaan landai dan 45 darjah kecuraman kepada 60 hingga 75 darjah kecuraman dengan pendaki memerlukan batang-batang pokok dan akar-akar kayu yang berselirat di sini.
Setelah mendaki kira-kira 1,700 meter, pendaki akan bertemu dengan Air Terjun 7 yang pada pandangan penulis cukup cantik dan terpelihara. Disini, terdapat satu kolam yang cukup jernih airnya dan ianya juga tumpuan buat pendaki melepaskan lelah buat seketika.
Seperti Air Tejun 3, Air Terjun 7 juga mempunyai lagendanya yang tersendiri kerana diceritakan di sini, terdapat seorang petapa yang boleh merubah dirinya menjadi buaya putih. Diceritakan juga, petapa berkenaan sentiasa menjaga lokasi ini agar ianya tidak dicerobohi atau pengunjung melakukan perbuatan yang tidak senonoh di sini.
Perjalanan diteruskan dengan mendaki sepenuhnya laluan berkecuraman 60 darjah sebelum pendaki akan bertemu dengan satu anak sungai pada jarak perjalanan 1,900 meter. Disinilah kali terakhir pendaki bertemu dengan punca air sebelum pendakian penuh dilakukan untuk menawan puncak Gunung Gading.
Adalah dinasihatkan para pendaki untuk mengisi air di kawasan ini kerana jarak yang perlu ditempuh oleh pendaki adalah dalam lingkungan 2,000 meter sebelum tiba ke puncak. Jika terlepas punca air ini, tidak ada lagi punca air sepanjang pendakian ini.
Dengan menempuh kecuraman mendaki sehingga 75 darjah, disinilah cabaran mental dan fizikal pendaki dicabar. Seseorang pendaki itu perlu berada pada kecergasan tertinggi di samping kekuatan fizikal yang baik kerana hanya beberapa laluan landai yang tidak sampai 1 meter sahaja yang ada sepanjang pendakian ini.
Pada jarak perjalanan 2,800 meter, pendaki sudah boleh merasa kesejukan angin gunung yang agak kerap bertiup pada ketinggian ini. Namun pendaki dinasihatkan supaya berhati-hati pada ketinggian ini kerana laluannya yang curam. Selain itu, pendaki dinasihatkan untuk cuba mengelak mendaki pada jarak ini ketika musim hujan kerana laluannya cukup licin.
Sebaik tiba di jaraak 3,700 meter, pendaki akan melihat sendiri tinggalan perang British yang masih elok terjaga di sini. Malah tempat pendaratan helikopter zaman British juga dapat dilihat pada ketinggian ini. Pendaki boleh merayau-rayau sebentar di jarak ini bagi melihat sendiri tinggalan sejarah yang ditinggalkan sebelum melakukan henjutan terakhir untuk tiba di puncak Gunung Gading.
Namun begitu, bagi mereka yang mengharapkan puncak Gunung Gading berbatu atau lapang seperti kebanyakan gunung yang lain, mungkin akan berasa sedikit hampa kerana puncak Gunung Gading diliputi oleh pokok-pokok yang agak tinggi. Namun begitu, puncaknya masih mampu memuatkan sekurang-kurangnya 10 buah khemah bagi mereka yang mahu bermalam di puncak gunung.
Keseluruhan pendakian menurut anggaran pihak pengurusan memakan masa antara 3 jam setengah ke 4 jam. Namun buat pendaki amatur, pendakian mungkin boleh memakan masa sehingga 5 jam setengah bergantung kepada kecegasan pendaki.
Jika masih belum puas dengan puncak Gunung Gading, pendaki mungkin boleh meneruskan perjalan bagi mendaki satu lagi puncak yang agak tinggi, Gunung Batu Berkubu yang dikatakan mempunyai pandangan yang cantik menghadap Laut China Selatan. Disebabkan masa yang suntuk dan ketiadaan peralatan bermalam, penulis memilih untuk turun sahaja dari puncak Gunung Gading tanpa pergi ke Hunung Batu Berkubu.
Penulis memakan masa selama 5 jam untuk kepuncak dan hanya memerlukan 2 jam 30 minit untuk menuruni laluan sepanjang 3,800 meter ini. Para pendaki juga dinasihatkan untuk turun sebelum jam 6.30 petang bagi mengelakkan diri berjalan dalam keadaan gelap seperti yang dialami penulis yang tiba di pejabat pengurusan pada jam 7.15 malam.
Namun, pengalaman 9 jam pendakian penulis sendirian nyata cukup menyeronokkan dan ianya cukup menyajikan cabaran yang tersendiri yang tidak akan dilupakan oleh penulis. "All Hail Gading Mountain"
0 comments:
Post a Comment