My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 6 March 2017

    Tommy Page Bunuh Diri




    Tanpa sebarang pesan mahupun petanda, penyanyi, penulis lagu dan bekas eksekutif muzik terkenal, Tommy Page memilih untuk menamatkan riwayatnya pada usia 46 tahun dengan membunuh diri. Page atau nama sebenarnya, Thomas Alden Page ditemui mati pada Jumaat lalu di kediamannya di New York, Amerika Syarikat. 

    Bagaimanapun, punca kematian Page masih belum disahkan oleh pihak berkuasa, namun ada laporan daripada sumber rapat mendakwa dia menggantung diri sendiri. “Ini adalah satu berita yang mengejutkan semua pihak kerana dia dikenali sebagai seorang yang ceria dan sentiasa gembira. 

    “Tiada tanda-tanda yang menunjukkan ada perkara yang tidak kena dengan hidupnya,” ujar sumber itu lagi. Menurut seorang wartawan, Michael Musto menerusi laman sosial Facebook, penyanyi yang terkenal dengan lagu I’ll Be Your Everything sekitar tahun 1990-an itu dikatakan sedang berdepan dengan masalah tekanan perasaan yang serius. Bagaimanapun status itu telah dipadamkan.

    Sementara itu, Presiden Kumpulan Billboard Entertainment, John Amato yang juga merupakan bekas majikan Page menyifatkan, kematian tersebut sebagai suatu kehilangan besar di dalam industri muzik antarabangsa. “Hari ini kami meratapi pemergian seorang sahabat baik yang banyak membantu ketika susah dalam industri muzik.

    “Dia adalah penghibur sejati dan doa kami bersama keluarganya,” ujarnya dalam satu kenyataan media. Page meninggalkan pasangannya, Charlie dan tiga orang anak. Setakat ini mereka masih belum tampil ke hadapan untuk memberi sebarang komen tentang kematian bintang tersebut. 

    Menyorot kembali kehidupan anak seni ini, Page boleh disifatkan sebagai seorang yang bertuah. Hal ini kerana nasibnya mula berubah apabila bekerja sebagai budak suruhan di sebuah bar terkenal di New York. Bar yang sering dikunjungi oleh artis-artis popular seperti Whitney Houston dan Rob Lowe itu kerap memutarkan lagu asal ciptaannya.

    Pada waktu itu, dia hanya berusia 16 tahun. Disebabkan bakat luar biasanya, Page berjaya menarik perhatian pemilik syarikat rakaman Sire Records, Seymour Stein yang bertanggungjawab memulakan kerjaya Madonna dan The Ramones.

    Kerjaya

    Album debut Page yang bertajuk Tommy Page dilancarkan pada tahun 1988 dan memuatkan beberapa lagu terkenal seperti A Shoulder To Cry On, Turning Me On dan I Think I’m In Love ketika dia berusia 18 tahun.

    Dua tahun kemudian, Page menghasilkan sebuah lagi album bertajuk Painting In My Minds dan menampilkan lagu yang berada di tangga pertama carta Billboard ketika itu iaitu I’ll Be Your Everything.

    Lagu berkenaan ditulis sendiri olehnya dan dibantu rakan-rakan baik daripada kumpulan New Kids On The Block (NKOTB) iaitu Jordan Knight bersama Danny Woode. “Sejak kecil, impian saya adalah untuk membikin lagu hebat yang memegang takhta nombor satu di carta Billboard. Bagi saya, itulah puncak kejayaan seorang penyanyi.

    “Saya sering menulis nota kecil di dalam buku “Billboard, tunggu aku datang” sebagai pencetus semangat buat seorang budak kampung dari New Jersey seperti saya,” ceritanya dalam satu temu bual sekitar tahun 2011.

    Selepas beberapa tahun berkecimpung dalam dunia nyanyian, dia mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di NYU Stern School Of Business untuk mengejar impian bergelar eksekutif muzik. Sepanjang kerjayanya sebagai eksekutif muzik, Page sempat mencungkil bakat beberapa artis popular seperti Alanis Morissette, Michael Bubble dan Josh Groban.

    Di akhir kehidupannya, dia memegang jawatan sebagai timbalan presiden sebuah akhbar berbentuk gaya hidup iaitu The Village Voice dan sekali sekala masih mengubati rindu peminat dengan mengadakan persembahan terutama di rantau Asia.

    Ahli-ahli NKOTB yang pernah bekerjasama dengan Page turut berkongsi perasaan sedih atas kematiannya. “Terima kasih untuk memori bersama dan awak akan kekal bersinar dalam hati kami semua,” tulis anggota NKOTB, Jonathan Knight di Twitter.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tommy Page Bunuh Diri Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top