HANYA kemenangan menjadi misi buat skuad kebangsaan menjelang perlawanan kedua kelayakan Piala Asia 2019 Kumpulan B menentang Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini. Ketua jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada percaya pasukannya kini berada dalam keadaan meyakinkan, sekali gus mampu menterjemahkan keputusan positif pada pertemuan tersebut.
Pengendali dari Portugal itu turut berkeyakinan tinggi terhadap tahap kemantapan pasukannya yang disifatkan lebih baik berbanding pasukan lawan, namun apa yang penting dalam aksi tersebut ialah para pemain harus membuktikan kemampuan mereka.
“Hong Kong juga mempunyai peluang tetapi sudah tentu kita mahu berikan segalanya untuk mendapatkan tiga mata selain memastikan kita menjaga reputasi dan kekal bersaing pada perlawanan akan datang.
“Para pemain menunjukkan prestasi meningkat dari semasa ke semasa. Sejujurnya, walaupun pada dua perlawanan persahabatan sebelum ini keputusannya kurang memberangsangkan tapi saya percaya mutu permainan pasukan sudah meningkat.
“Apa yang penting dalam bola sepak adalah bermain seperti biasa, namun keazaman harus tinggi memandangkan kita bermain di laman sendiri. Jadi, kita mahu berikan keputusan yang istimewa kepada penyokong,” katanya pada sidang akhbar menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2019 Kumpulan B di Stadium Hang Jebat, Melaka semalam.
Vingada menegaskan, beliau mempunyai strateginya sendiri untuk memastikan barisan hadapan mampu menjelmakan sentuhan penyudah yang tajam, sekali gus meraih kemenangan sulung buat dirinya.
Kata beliau, usaha menjaringkan gol bukan terletak pada bahu penyerang semata-mata tetapi ia tugas setiap pemain dalam pasukan dengan menunjukkan persefahaman serta keserasian agar jaringan dapat diterjemahkan.
“Pada tiga perlawanan terdahulu termasuk tewas kepada Lebanon 1-2 (kelayakan Piala Asia 2019) dan dua perlawanan persahabatan, mereka menunjukkan peningkatan permainan, cuma berdepan masalah penyudah tumpul di depan gawang lawan.
“Saya percaya semua pemain termasuk penyerang adalah penjaring gol, jadi mereka harus memberi tumpuan sepenuhnya dari mula perlawanan hingga akhir,” katanya. Terdahulu dalam perlawanan pertama Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019, Malaysia tewas 1-2 kepada Lebanon pada 13 Jun lepas.
0 comments:
Post a Comment