Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberitahu pemimpin Filipina, Rodrigo Duterte (gambar kecil) usaha Manila memerangi dadah dilakukan dengan baik sekali gus berbeza dengan Barack Obama yang mengkritik tindakan itu.
Duterte menelefon Trump kelmarin untuk mengucapkan tahniah di atas kemenangannya dalam pilihan raya November lepas. Trump turut dikatakan mendoakan kejayaan Duterte dalam tindakan kontroversi memerangi dadah yang sehingga kini telah membunuh 4,800 orang.
“Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap masalah dadah. Trump berharap segalanya berjalan dengan lancar bagi menegakkan kedaulatan negara seperti yang sepatutnya,” ujar Duterte dalam satu kenyataan semalam.
Duterte, 71, melancarkan perang terhadap dadah yang mencetuskan kritikan antarabangsa apabila Obama pada September lepas mendesak pemimpin itu untuk menjalankan kempen tersebut dengan sewajarnya berikutan wujud dakwaan pembunuhan di luar undang-undang.
Pihak Trump mengeluarkan kenyataan itu selepas perbualan telefon tersebut dengan menyatakan Duterte mengucapkan tahniah kepadanya dan kedua-dua pemimpin berkenaan kemudian bersetuju untuk menjalin kerjasama. Sebuah video yang menunjukkan Duterte ketawa ketika berbual menerusi panggilan telefon bersama Trump disiarkan oleh pihak pejabat pemimpin Filipina tersebut.
Beliau kemudiannya menyatakan Trump mungkin menjadi seorang presiden yang baik buat AS. Duterte memberitahu bakal presiden tersebut turut menjemputnya ke New York dan Washington. Beliau dalam masa yang sama mempelawa Trump untuk menghadiri satu persidangan yang dianjurkan Filipina pada tahun depan.
0 comments:
Post a Comment