Dua penjenayah mengamuk dengan melibas parang ke arah seorang pemandu kereta sejurus dirempuh ketika cuba melarikan diri. Dalam kejadian jam 2 petang kelmarin, suspek didakwa baru merompak dua remaja yang berada di hadapan rumah di Taman Midah, Cheras, di sini.
Mangsa, wanita berusia 19 tahun bersama rakannya kehilangan dua telefon bimbit dan wang tunai RM210 selepas disamun dua lelaki bermotosikal. Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, kejadian berlaku sewaktu dua mangsa terbabit berbual di hadapan rumah.
Katanya, dua lelaki menaiki motosikal Honda EX5 berlegar-legar di kawasan terbabit sebelum tiba-tiba menghampiri mangsa. “Seorang daripada suspek mengeluarkan parang dan meminta wang daripada dua mangsa. “Sewaktu suspek cuba melarikan diri, mereka dilanggar kereta hingga jatuh,” katanya.
Bagaimanapun, seorang suspek melibas parang ke arah lelaki yang memandu kereta menyebabkan bahu kanan mangsa cedera. Menurutnya, hasil siasatan di lokasi kejadian, polis menemui beg galas dan jam tangan milik suspek dipercayai tercicir sewaktu kemalangan.
Kejadian terbabit menjadi viral apabila sempat dirakam orang awam berada di lokasi kejadian berdurasi 56 saat sebelum dimuat naik di media sosial.
0 comments:
Post a Comment