Polis menangkap seorang rakyat tempatan kerana melakukan pemerasan ke atas seorang peniaga halia di Tambunan pada bulan lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, ASP Lee Nyuk Kim berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditangkap sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Keningau di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Tambunan jam 10 pagi, 25 November lalu.
Katanya, polis turut merampas kereta Proton Wira, sebuah telefon bimbit dan dua bentuk cincin daripada suspek dan ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 383 Kanun Keseksaan.
Lee berkata, pada hari sama jam 8.33 pagi satu laporan polis dibuat pengadu, seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun di mana pada 24 November, jam 12 tengah hari di kawasan letak kereta Tamu Ground Tambunan, pengadu dipanggil suspek yang dikenalinya masuk ke dalam kereta suspek.
Katanya, ketika dalam kereta, suspek meminta pengadu wang RM180 dengan alasan untuk membeli dadah dan suspek membenarkan pengadu keluar dari kereta sekiranya enggan memberi wang.
“Oleh kerana takut diapa-apakan pengadu memberi RM70 dan suspek membenarkan pengadu keluar dari kereta. Suspek meninggalkan nombor telefon kepada pengadu dan menyuruh pengadu menelefon nombor tersebut pada sebelah petang untuk suspek membayar semula duit pengadu.
“Siasatan lanjut mendapati pengadu bertemu semula dengan suspek pada jam 4 petang di kawasan sama dan suspek masuk ke dalam kereta pengadu meminta pengadu mengatur perempuan untuknya dan sengaja melengahkan masa pengadu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.
Lee berkata, semasa dalam kereta, enjin kereta pengadu tiba-tiba berasap dan pengadu keluar untuk menambah air pada kereta.
Katanya, pengadu melihat suspek membongkar beg milik isteri pengadu yang diletakkan di poket tempat duduk bahagian penumpang dan suspek mengambil dua telefon bimbit dan tiga cincin emas milik pengadu. Menurut beliau, pengadu yang berasa takut hanya berdiam diri dan melihat sahaja perbuatan suspek.
0 comments:
Post a Comment