My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday, 9 January 2017

    Faiz Tidak Pakai Baju Melayu





    FINALIS anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd. Faiz Subri tidak menolak kemungkinan bahawa dia tidak akan memakai kelengkapan baju Melayu pada majlis tersebut gara-gara cuaca sejuk di Zurich, Switzerland ketika ini yang mencecah sehingga 5 darjah Celsius. 

    Mohd. Faiz bersama Marlone (Cortinthians/Brazil) dan Daniuska Rodriguez (AFF San Diego/Venezuela) masing-ma­sing telah disenarai pendek untuk kategori Anugerah Puskas FIFA yang diperkenalkan pada 2009 bagi mengiktiraf pemain yang menjaringkan gol paling cantik di dunia. 

    Sebelum ini, beberapa pihak menggesa pemain Pulau Pinang itu memakai kelengkapan baju Melayu pada majlis berprestij tersebut bagi menaikkan imej budaya di Malaysia kepada dunia.

    Malah, Mohd. Faiz, 29, telah menerima tajaan kelengkapan baju Melayu itu daripada Ins­titut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) berserta tanjak dan songket asli Melaka yang di­sampaikan oleh Pengerusi ISMMA, Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar di Bayan Baru, Pulau Pinang baru-baru ini.

    Bagaimanapun, Mohd. Faiz yang berlepas ke Zurich semalam bersama isterinya, Norzawanis Hashim, 29, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan yang berusia lapan bulan mendedahkan bahawa dia mungkin melupakan hasrat untuk menggunakan pakaian tradisional Melayu tersebut gara-gara masalah cuaca terlalu sejuk di Switzerland ketika ini.

    “Saya difahamkan cuaca di Switzerland sekarang mence­cah sehingga 5 darjah Celsius. Jika benar, memang agak sukar untuk mengenakan baju Me­layu pada majlis itu tetapi pada masa yang sama, saya tetap membawa kelengkapan tersebut dan jika ada peluang, saya akan memakainya,” kata Mohd. Faiz, semalam.

    Dalam perkembangan sama, pemain tengah Pulau Pinang itu sudah tidak sabar untuk bertemu dengan idolanya, Cristiano Ronaldo dan dia me­ngakui tidak kisah seandai­nya tidak dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas FIFA pada tahun ini.

    “Kejayaan tersenarai antara tiga terbaik untuk anugerah ini sudah menjadi pencapaian terbaik dalam karier saya. Jika tidak menang, saya tidak terkilan,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, Mohd. Faiz telah dicalonkan untuk anugerah tersebut selepas menjaringkan gol menarik menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 32 meter sewaktu beraksi bersama Pulau Pinang menentang Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada 16 Februari lalu.

    Gol hasil sepakan percuma yang melengkung masuk ke dalam gawang gol Pahang pada minit ke-62 itu mendapat sanjungan ramai sehingga menjadi ‘trending’ di laman sosial Twitter dan turut mendapat liputan daripada akhbar atas talian, British Independent.

    Anugerah Puskas FIFA yang diperkenalkan sejak 2009 bertujuan untuk mengiktiraf pemain yang menjaringkan gol paling cantik di dunia setiap tahun dan untuk pemilihan kali ini, ia dibuat berdasarkan ja­ringan dari 30 September 2015 hingga 30 September 2016.

    Ini merupakan kali pertama pemain bola sepak dari Malaysia mendapat pengiktirafan disenaraikan untuk memenangi anugerah tersebut. Bagi menghadiri majlis berprestij FIFA itu, segala kos penerbangan serta penginapan Mohd. Faiz serta isteri dan anak-anaknya ke Zurich ditanggung sepenuhnya oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Dia ditemani Timbalan Pre­siden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Faiz Tidak Pakai Baju Melayu Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top