My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 13 January 2017

    Pelaku Rasuah Miliki Sifat Songsang




    SEJAK akhir-akhir ini, kita dikejutkan dengan beberapa berita berkaitan tangkapan pegawai tinggi kerajaan yang terlibat dengan gejala rasuah. Agak mengejutkan, ia bukan melibatkan jumlah wang yang sedikit tetapi jutaan ringgit. Dalam istilah psikologi, perlakuan seumpama ini biasanya dikenali sebagai deviance atau perilaku songsang. 

    Umumnya istilah perilaku deviance ini sering dikaitkan dengan individu yang bersifat aneh dan bertentangan dengan norma masyarakat. Misalnya, dalam sesebuah masyarakat yang aman damai, mereka yang melakukan kacau-bilau akan dianggap sebagai songsang.

    Individu yang melakukan jenayah dalam masyarakat yang menghargai hukum juga dianggap sebagai songsang kerana melakukan sesuatu bertentangan dengan norma masyarakat.

    Alat ukuran

    Mungkin banyak yang berpandangan bahawa kecintaan manusia terhadap wang atau kekayaan menyebabkan seseorang itu terjebak dengan rasuah dan salah guna kuasa.

    Ia mungkin benar dalam keadaan tertentu kerana terdapat manusia yang mempunyai kekaguman luar biasa terhadap wang. Sehinggakan ada penyelidik yang mencipta alat ukuran yang dinamakan sebagai Love for Money Scale. Alat ini digunakan untuk mengukur sejauh mana wang dianggap sangat mustahak, simbol kejayaan dan sebagai lambang kekayaan.

    Dalam satu kajian yang dilakukan di Hong Kong itu menunjukkan mereka yang mempunyai kecintaan terhadap wang mempunyai kecenderungan tinggi untuk melakukan salah guna kuasa. Bagaimanapun, wang bukanlah satu-satunya faktor yang menjadikan manusia sangat teruja dengan salah guna kuasa ini.

    Dapatan kajian yang lain menunjukkan bahawa budaya sesebuah negara juga berkait rapat dengan gejala rasuah. Antara ciri budaya yang selalu dikaitkan dengan perlakuan rasuah ini termasuk jarak kuasa, masculinity (sifat kelelakian) dan kolektif.

    Secara kebetulan, Malaysia adalah antara negara yang mempunyai kebanyakan daripada ciri-ciri budaya ini. Malah, Malaysia merupakan negara yang dianggap sebagai paling tinggi dalam ciri budaya jarak kuasa.

    Jarak kuasa ini merujuk kepada hubungan antara ketua dan orang bawah. Semakin tinggi jarak kuasa, bermakna kekaguman pengikut terhadap ketua adalah sangat luar biasa sehinggakan kata-kata mereka dianggap fatwa dan adakalanya boleh melangkau peraturan sedia ada.

    Ketua juga dianggap betul dalam semua keadaan dan pandangan mereka tidak boleh diabaikan sewenang- wenangnya, apatah lagi ditolak. Di negara yang jarak kuasanya rendah, umumnya di beberapa buah negara Scandivania, Australia dan New Zealand, kehadiran seorang ketua tidak dirasai.

    Ini kerana mereka berada dalam kedudukan yang hampir sama dengan pengikut. Walaupun tidak berada dalam kedudukan yang tinggi, Malaysia juga dikatakan agak tinggi dalam ciri masculinity. Ini bermakna, kedudukan orang lelaki dilihat lebih tinggi berbanding wanita. Umumnya lelaki juga cenderung untuk dipilih berada dalam posisi yang tinggi bagi jawatan tertentu.

    Rakyat kita juga dikategorikan sebagai bercirikan budaya kolektif. Walaupun tidak ada keburukan mempunyai ciri ini, dalam hal tertentu ia boleh membawa kepada isu lain. Ini kerana ciri itu menjadikan masyarakat sangat ingin mengekalkan keharmonian dan cuba mengelak daripada berkonflik.

    Akhirnya, sekalipun dalam kalangan kita mungkin ada yang terlibat dengan salah laku, kita akan mendiamkan diri bagi mengelakkan berlaku salah faham dan bermasam muka.

    Status

    Sebab itu, agak tidak mengejutkan apabila kebanyakan daripada kes gejala rasuah ini berlaku di kebanyakan negara Asia, Afrika dan beberapa negara di Amerika Selatan.

    Kebanyakan negara ini mempunyai ciri-ciri budaya yang disebutkan di atas. Malangnya, budaya yang dipegang oleh kebanyakan negara ini juga sangat mementingkan status seseorang. Mereka yang mempunyai kuasa dan kekayaan dianggap sebagai luar biasa, pada akhirnya perlakuan songsang tadi telah diabaikan.

    Manusia cenderung untuk melihat kejayaan seseorang berdasarkan berapa banyak harta yang dimiliki atau sejauh mana seseorang itu mempunyai kekayaan yang luar biasa. Manusia sering mengabaikan sama ada pendapatan yang mereka peroleh itu datangnya daripada sumber yang halal atau tidak. Kita mungkin tidak mampu mengubah dunia.

    Namun, kita boleh menukar cara kita melihat sesuatu. Jika selama ini kita sangat teruja melihat kekayaan yang dimiliki seseorang, kita juga mungkin patut menilai adakah mereka itu manusia songsang yang mendapatkan kekayaan daripada sumber diragui. Kita mungkin tidak sekaya mana.

    Bagaimanapun, bersyukurlah kerana kita bukan seorang manusia yang mempunyai perilaku songsang.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Pelaku Rasuah Miliki Sifat Songsang Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top