My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 11 January 2017

    Tenanglah Apai Besar Sarawak Disana



    Pada tarikh 11 Januari 2017, tepat jam 1.24 tengah hari, seluruh warga Sarawak dikejutkan dengan kematian Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Bin Haji Satem. Beliau meninggal dunia di Pusat Rawatan Jantung, Hospital Umum Sarawak akibat komplikasi jantung yang dideritai Allahyarham.

    Bukan satu perkara yang mudah buat warga Sarawak untuk menerima berita menyedihkan ini. Sejak tersebarnya kematian Allahyarham, boleh dikatakan hampir seluruh anak Sarawak samada di bumi Sarawak mahupun di Semenanjung menjadikan media sosial seperti Facebook, menzahirkan perasaan terkejut dan sedih atas kehilangan yang cukup besar ini.

    Menyelusuri rentetan saat-saat akhir kehidupan Allahyarham, Tan Sri Haji Adenan sememangnya dilihat sudah tidak begitu sihat sejak hampir dua bulan yang lalu. Kelibat beliau jarang dilihat dalam mana-mana majlis kerana masalah kesihatan yang jelas mengganggu pergerakan beliau untuk hadir.

    Namun begitu, selaku Ketua Menteri, sebarang majlis besar yang menuntut kehadirannya, pasti beliau akan hadir walaupun kondisi kesihatannya yang semakin susut, dapat dilihat oleh warga Sarawak yang hadir pada majlis yang beliau hadiri. Malah, sehari sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, diberitakan, beliau masih mahu hadir memenuhi undangan satu majlis.

    Dikenali sebagai seorang pemimpin yang cukup tegas, Allahyarham Tan Sri Haji Adenan Satem dilahirkan pada tanggal 27 Januari 1944. Membesar dari golongan rakyat biasa, beliau sedar hanya ilmu sahaja mampu mengubah kehidupan seseorang. Atas sebab itulah beliau berkelana ke Australia hanya untuk menuntut ilmu yang kemudiannya digunakan beliau semasa menjadi Ketua Menteri.

    Sudah terlalu banyak biodata beliau telah didedahkan dan ianya tidak perlu lagi untuk di tulis dalam ruang yang sekecil ini. Namun, perkara yang paling dikenang adalah celoteh beliau sewaktu menyampaikan ucapan di hadapan rakyat Sarawak. Belum pernah ada mana-mana pemimpin utama Sarawak berani mengusik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan gelaran "apai besai Malaya".

    Beliau juga seorang yang amat tegas dalam melaksanakan tugas. Pernah menjadi tular satu video yang menunjukkan beliau berang dengan Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak disebabkan kegiatan perbalakan masih berleluasa.

    Sebagai seorang pemimpin utama negeri, beliau juga pernah di kecam oleh segelintir pihak yang tidak senang dengan polisi terbaru beliau yang mahu sebarang urusan rasmi negeri menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Namun begitu, akhirnya, polisi beliau dapat diterima semua pihak dan isu berkenaan surut begitu sahaja.

    Sebagai seorang pemimpin yang begitu dekat dihati rakyat Sarawak, perjuangaan beliau menuntut semula hak-hak rakyat Sarawak yang mungkin terambil secara tidak sengaja atau bertindih, amat kosisten sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Beliau satu-satunya pemimpin utama Sarawak yang begitu lantang menuntut semula hak-hak yang telah terambil sehingga ada pihak mendakwa, beliau mahu menuntut autonomi sepenuhnya dari kerajaan pusat.

    Dari segi politik, imej Allahyarham Tan Sri Adenan cukup digeruni oleh pihak pembangkang terutamanya DAP Sarawak. Nama-nama seperti Abdul Aziz Isa, Choong Chien Jin dan Baru Bian adalah individu yang cukup kerap menyerang Allahyarham hanya semata-mata mahu merosakkan imej bersih beliau di mata rakyat Sarawak.

    Kini, seorang lelaki yang hanya mahu di panggil CM, Tok Nan ataupun Adenan sudah meninggalkan kita untuk selama-lamanya. Bukan sedikit jasa yang telah ditinggalkan Allahyarham untuk hampir 3 tahun pentadbirannya. Menerusi beliau, Sarawak sudah mampu merangka masa hadapan negeri ini pada tahun 2030 yang diidamkan beliau sebagai negeri Sarawak maju.

    Kinek tok, sik ada lagik apai besai Sarawak. Nya ninggalkan kita dengan semangat dan iltizam baru untuk kita orang Sarawak engkah dalam hati untuk selama-lamanya. Nya bukan superhero yang mampu ngubah negeri Sarawak sekelip mata. Tapi nya seorang lelaki terulung yang telah merik apa jak untuk kita orang semua nikmati hari tok.

    Nya ninggalkan famili dan masa rehat orang tua daknya hanya semata-mata mok berkhidmat pada negeri Sarawak yang nya cinta. Lepas tok, kita hanya boleh nanga nya molah OOO HAAA, You... You dalam youtube atau nak ne yang gik nyimpan videonya.

    Tenanglah di sana wahai Haji Adenan Bin Haji Satem. Semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang yang beriman. Nyata sekali, curahan keringat sehingga terpaksa meninggalkan keluarga sehingga akhir hayat untuk berkhidmat untuk rakyat Sarawak, tidak akan mampu dibalas oleh anak Sarawak.

    Al Fatihah buat hero kami, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Bin Haji Satem, Ketua Menteri Sarawak kelima.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tenanglah Apai Besar Sarawak Disana Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top